Nasional

Tarikh baru buka sekolah di Johor, Pahang, Negeri Sembilan

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini mengumumkan tarikh baru pembukaan institusi pendidikan di Johor, Pahang dan Negeri Sembilan.

Ia susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 22 September lepas berkaitan peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi negeri terbabit yang berkuatkuasa hari ini.

“KPM telah menetapkan bahawa jika sesebuah negeri beralih ke fasa seterusnya, pengoperasian institusi pendidikan bawah KPM mengikut ketetapan fasa baharu akan dilaksanakan selepas dua minggu daripada tarikh peralihan ke fasa tersebut,” kata KPM dalam satu kentyataan.

Institusi pendidikan bawah KPM merujuk kepada sekolah, kolej vokasional, kolej matrikulasi dan institut pendidikan guru. Ia juga terpakai kepada institusi pendidikan swasta yang berdaftar bawah KPM bagi kategori sekolah dan kategori pusat.

Pembukaan institusi pendidikan bawah KPM bagi negeri Johor akan bermula pada 10 Oktober berdasarkan
ketetapan pengoperasian institusi pendidikan bagi negeri Fasa 2 PPN.

Institusi pendidikan di negeri Pahang akan beroperasi berdasarkan ketetapan negeri Fasa 3 PPN bermula pada
11 Oktober.

Manakala pengoperasian institusi pendidikan di Negeri Sembilan berdasarkan Fasa 4 PPN dan akan bermula pada 18 Oktober.

Susulan pengumuman Pulau Langkawi sebagai kawasan gelembung pelancongan pada 16 September pengoperasian institusi pendidikan di pulau itu bermula pada 3 Oktober dan berdasarkan ketetapan negeri Fasa 4 PPN.

Sementara itu, Kedah yang menjadi satu-satunya negeri masih berada pada Fasa 1 PPN, pengoperasian institusi pendidikan di negeri itu untuk murid Tingkatan 6 Semester 2 dan kelas peperiksaan antarabangsa (IGCSE O-Level) akan bermula pada 10 Oktober.

Murid lain di Kedah kekal mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah.

“Bagi institusi pendidikan bawah KPM di negeri lain yang tidak terlibat dengan peralihan fasa pada 24 September 2021, pengoperasian institusi pendidikan adalah berdasarkan ketetapan fasa sedia ada seperti mana yang diumumkan oleh KPM pada 12 September,” katanya.

KPM turut juga menyarankan agar ketetapan yang dibuat turut terpakai di semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM, termasuk institusi pendidikan bawah kerajaan negeri.-SM

 

(Visited 3,557 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button