Nasional

Rangka kerja Ekonomi Madani fokus tangani kos sara hidup

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini membentangkan rancangan dan langkahnya untuk membina semula dan meletakkan Malaysia antara 30 ekonomi terbesar dunia dalam tempoh kurang daripada 10 tahun apabila beliau melancarkan rangka kerja ekonomi negara untuk dekad ini.

Digelar sebagai “Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat”, Anwar yang juga Menteri Kewangan menyifatkannya sebagai kerangka ekonomi baharu untuk mendukung dan mengangkat status dan kedudukan negara.

Fokus utama rangka kerja itu, katanya, ialah penstrukturan semula ekonomi negara untuk menjadikan Malaysia sebagai peneraju ekonomi di Asia yang membantu meningkatkan kualiti kehidupan dan kebajikan rakyat.

“Ini merupakan rangka kerja komprehensif dan kompleks yang akan membantu negara menghadapi cabaran jangka panjang serta mengubah negara menjadi destinasi menarik dan kompetitif dalam kalangan pelabur.

“Rangka kerja ini juga akan merangka pelan bagi menangani isu-isu yang perlu diselesaikan segera seperti kenaikan kos sara hidup daripada terus menjejaskan kehidupan rakyat.

Selain meletakkan Malaysia sebagai antara 30 ekonomi utama di seluruh dunia, Anwar berkata rangka kerja itu turut menggariskan enam penanda aras lain yang akan dicapai negara dalam tempoh kurang daripada 10 tahun.

Penanda aras lain termasuk meletakkan negara dalam 12 teratas Indeks Daya Saing Global, meningkatkan penyertaan wanita dalam tenaga kerja negara kepada 60 peratus, meletakkan negara dalam 25 negara teratas di dunia dalam Indeks Persepsi Rasuah, meningkatkan kekuatan fiskal negara dengan defisit fiskal tiga peratus atau lebih rendah dan meletakkan Malaysia dalam kedudukan 25 teratas Indeks Pembangunan Manusia.

Pada majlis sama, Anwar turut mengumumkan beberapa dasar jangka panjang dan sederhana untuk menyambung trajektori pertumbuhan Malaysia.

Antaranya termasuk kredit e-Tunai sebanyak RM100 kepada semua orang dewasa di negara ini yang berpendapatan RM100,000 dan ke bawah setiap tahun. Bantuan yang menelan belanja kerajaan sebanyak RM1 bilion, kata Anwar, dijangka memberi manfaat kepada 10 juta rakyat dalam kategori pendapatan B40 dan M40.

Anwar turut mengumumkan bantuan khas bagi mengiktiraf sumbangan penjawat awam dan pesara ke arah pembangunan pertumbuhan ekonomi negara. Beliau berkata, kerajaan akan mengagihkan RM300 dalam bentuk Bantuan Khas Kewangan kepada penjawat awam Gred 56 dan ke bawah.

Beliau turut mengumumkan bantuan sama sebanyak RM200 kepada pelbagai kategori pesara kerajaan, yang kini pesara termasuk penerima pencen di bawah undang-undang pencen, pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang bersara daripada perkhidmatan awam, serta veteran berpencen dan tidak berpencen.

“Saya telah mengarahkan Ketua Setiausaha Negara untuk membuat pembayaran bantuan khas itu dalam masa dua minggu,” katanya sambil menambah bantuan itu mencerminkan komitmen pentadbiran persekutuan untuk menstruktur semula gaji penjawat awam mengikut kemampuan kewangan kerajaan.

Bagi membolehkan rakyat memiliki rumah, Anwar berkata kerajaan juga bersetuju meningkatkan Skim Jaminan Kredit Perumahan kepada RM5 bilion.

“Kerajaan sedar akan keadaan yang dihadapi oleh rakyat yang sukar untuk memiliki rumah kerana tidak mampu membuat deposit.

“Oleh itu, kerajaan telah menambah baik skim pinjaman di bawah Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Bhd (SJKP) dengan meningkatkan jaminan pembiayaan kepada 120 peratus daripada harga rumah bernilai sehingga RM300,000,” katanya.

Kerajaan juga akan bersama dengan GLIC melabur RM1 bilion dana tambahan secara padanan dengan dana swasta bagi menyokong syarikat pemula tempatan dan mendorong technopreneur. Ini termasuk memastikan penyediaan dana bagi setiap fasa syarikat berpertumbuhan tinggi.

Peruntukan tambahan juga akan diberikan sebanyak RM400 juta untuk pinjaman mikro dibawah agensi termasuk SME Corp, TEKUN, MARA dan Teraju

Bermula hari ini, Anwar berkata semua kementerian akan mengumumkan inisiatif baharu secara berperingkat bagi meningkatkan kebajikan dan kehidupan rakyat di bawah rangka kerja yang baru dilancarkan.

“Semua kementerian, bermula hari ini, akan mengumumkan inisiatif baharu dan lebih khusus untuk mengukuhkan rangka kerja ini.

Antara dasar jangka panjang lain termasuk, menambah pekerjaan dengan gaji munasabah, kesaksamaan peluang tanpa mengira jantina, kaum, atau latar belakang, jaringan perlindungan sosial, serta menambah baik isu pengangkutan awam.

Kerajaan perpaduan akan terus memberi perhatian serius dalam membantu rakyat menghadapi cabaran global dengan memperkasakan ekonomi negara. -SM

Baca : Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat penstrukturan semula ekonomi negara

(Visited 157 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button