Nasionalpilihan

Pemaju diberi tempoh tujuh hari baik pulih cerun

Isu tebing runtuh di Jalan Sri Raya 4 dan Sri Raya 7 Taman Muzaffar Shah, Lebuh Ayer Keroh dekat sini meresahkan kira-kira 500 penduduk sebenarnya sudah berlarutan sejak Jun tahun lalu.

Projek pembangunan komersial rumah kedai di kawasan tersebut telah mendapat bantahan awal daripada penduduk yang mempersoalkan mengapa projek itu diluluskan sedangkan lokasi itu merupakan Zon Hijau dan kawasan penampan sebagai benteng pertahanan kawasan industri dan
rumah penduduk.

Projek pembinaan itu berhampiran Lebuh Ayer Keroh dikhuatiri turut menjejaskan tangki air yang dikatakan boleh roboh jika berlaku hakisan tanah yang teruk apa lagi ditambah dengan musim hujan yang kerap berlaku.

Bagaimanapun, semalam penduduk sekali lagi berhimpun secara aman meminta kerajaan negeri untuk campur tangan selepas usaha mereka pada Jun tahun lalu tidak membuahkan hasil yang diharapkan.

Dakwa penduduk ia berikutan kerja-kerja pencegahan tanah runtuh dibuat pemaju dilihat tidak menepati spesifikasi hingga menyebabkan kesan keretakan di jalan masih ketara termasuk kejadian tanah runtuh terus berlaku khususnya apabila berlaku hujan.

Dalam satu lawatan mengejut Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh pagi tadi akhirnya pihak pemaju telah diberi amaran keras serta tempoh tujuh hari bagi melakukan kerja baik pulih hakisan tanah yang menyebabkan runtuhan tanah di kawasan tersebut.

Menurutnya, tindakan segera perlu dilakukan oleh pemaju bagi mengelakkan kerosakan lebih besar hingga boleh mengancam nyawa dan harta benda penduduk di taman berkenaan.

“Pemaju telah memberi jaminan dalam memastikan langkah keselamatan dan teknikal dipatuhi sepenuhnya dalam menjalankan projek pembinaan ini.

“Pihak Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) memberi tempoh seminggu kepada pemaju untuk membuat kerja baik pulih.

“Kita akan pantau kerja-kerja baik pulih setiap hari bagi memastikan pencegahan tanah runtuh dibuat oleh pemaju bagi memastikan tiada berlaku keretakan pada jalan raya dan berlaku cerun runtuh,” katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan di sini hari ini.

Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Melaka, Datuk Rais Yasin, Exco Kerja Raya, Insfrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan Melaka, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer dan Yang Dipertua MPHTJ, Datin Sapiah Haron.

Ketua Menteri turut diberi taklimat Sapiah Haron dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, Datuk Ir. Ismail Abd Rahman mengenai projek pembinaan itu serta kerja pembaikan yang dilakukan.

Ab. Rauf menegaskan, kerajaan negeri tidak akan berkompromi, termasuk boleh mengarahkan projek pembinaan itu dihentikan sementara jika berlaku kerosakan lebih besar sehingga penyelesaian dibuat.

“Pemaju turut diingatkan sentiasa berhubung dengan semua penduduk terjejas dan memberi perhatian jika ada kediaman yang rosak dan memerlukan pembaikan atau ganti rugi,” ujarnya. – SM

(Visited 168 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button