Politik

Serumpun bak serai, sesusun bak sireh

SERUMPUN bak serai, sesusun bak sireh. Begitulah seharusnya pemimpin UMNO dan peribahasa itu harus sama dihayati hingga ke akar umbi.

Asas kesepaduan itu adalah institusi kepresidenan yang pada ketika ini disandang oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO dan sekali gus merupakan Presiden Barisan Nasional (BN).

Struktur yang teratur UMNO dan BN inilah telah berjaya membawa parti terbesar orang Melayu itu bersama-sama gagasan kepimpinan kaum lain di negara ini berjaya mengharungi pelbagai dugaan serta onak dan duri berdekad-dekad.

Situasi politik semasa menyebabkan ramai politikus tampil dengan idea-idea yang aneh kononnya atas landasan membawa pembaharuan.

Termasuklah memecah dua institusi kepresidenan iaitu Ahmad Zahid kekal sebagai Presiden UMNO, manakala Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Pengerusi Barisan Nasional.

Walaupun kita yakin kedua-dua tuan punya badan tidak akan bertindak gelojoh sedemikian ibarat tikus memperbaiki labu, kerana dua individu ini sangat akrab ibarat kuku dengan isi.

Pemikir Singapura, ISEAS menyatakan secara tuntas bahawa keadaan politik Malaysia sangat tidak stabil  dan berada dalam kebuntuan. Kedua-dua pakatan politik iaitu Perikatan Nasional (PN), mahupun Pakatan Harapan (PH) pada masa ini tidak stabil dan menghadapi cabaran yang bakal merosakkan kemampuan mereka sebagai entiti yang memerintah.

Naib Ketua Bahagian UMNO Bangi, Ismael Hamdan mempersoalkan mengapa idea janggal itu dibangkit pada masa ini.

Persoalannya apakah cakap sedemikian lebih kepada percaturan pihak tertentu dan bukan kehendak tuan punya badan.

“Sedangkan tuan punya badan yakni DSNR berkali-kali terdahulu daripada in menegaskan bahawa beliau tidak berhasrat untuk memegang jawatan tertinggi parti atau perdana menteri,” katanya.

Walaupun ia hanya pandangan seorang ketua bahagian di Selangor, tetapi riaknya mudah dijangka ada pihak yang lebih ramai di belakang beliau dan cadangan sedemikian mungkin tidak menjadi masalah pada situasi biasa, tetapi ia sangat sensitif serta tidak sesuai dalam keadaan getir pada ketika ini.

Dengan kedudukan kerajaan PN ibarat telur di hujung tanduk tidak stabil dan bila-bila masa boleh jatuh dan berkecai, pertikaian perkara asas adalah tidak wajar.

Dalam keadaaan yang tidak menentu, PN perlu disokong dengan niat dan tujuan membela rakyat yang terkesan dengan Covid-19 dan kegawatan ekonomi global dan terasnya adalah memelihara institusi Presiden. Jika UMNO tidak stabil maka ia bakal memberi kesan kepada PN.

Najib yang kini dilantik sebagai Penasihat Barisan Nasional telah memainkan peranan yang berkesan. Sebagai pemimpin yang mempunyai wawasan yang besar untuk orang Melayu dan negara keseluruhannya ia sangat signifikan pada masa ini.

Aura beliau pada masa ini seperti magnet menarik balik sokongan kepada BN dan UMNO khususnya.

Ahmad Zahid pula pemimpin yang menggerakkan Muafakat Nasional (BN) iaitu kerjasama UMNO dan Pas bersama-sama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Inilah yang menjadi asas kebangkitan daripada kejatuhan yang dialami, hingga berjaya bukan sahaja menjadi kerajaan, bahkan menyelamatkan negara daripada terus hancur oleh kerakusan dan ketidakcekapan menguruskan negara oleh kerajaan dipilih hasil uji kaji majoriti rakyat negara ini memberi kepercayaan kepada Pakatan Harapan (PH).

Setiausaha BN, Tan Sri Annuar Musa sendiri mengesahkan telah menjadi amalan BN sejak 1974 bahawa Presiden UMNO secara automatik akan menyandang Pengerusi BN.

Pemimpin perlu disatukan bukan dipecah belahkan, harapnya supaya jangan yang dikejar tak dapat dan dikendong berciciran.

Prinsip perjuangan dan keikhlasan tidaklah begitu murah dan boleh dibeli dengan wang ringgit harapnya. Janganlah menangguk di air keruh! – SM

(Visited 1,675 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button