Nasionalpilihan

Syed Azmi, Hasan Rahman terajui Pertubuhan Alumni 4B Malaysia

Datuk Syed Azmi Ahmad Syed Nazir Ahmad menang tanpa bertanding jawatan Presiden Pertubuhan Alumni 4B Malaysia buat penggal kedua selepas tidak dicabar pada hari terakhir penamaan calon berakhir malam tadi.

Syed Azmi Ahmad mendapat sokongan penuh daripada seluruh 12 pertubuhan Alumni negeri-negeri yang telah bersidang termasuk Persidangan Tahunan Alumni 4B Melaka yang terakhir di Pejabat UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Datuk Hasan Rahman pula menang tanpa bertanding jawatan Timbalan Presiden.

Beliau yang sebelum ini menyandang jawatan Naib Presiden turut mendapat sokongan penuh daripada 12 pertubuhan negeri kerana tidak ada calon yang menawarkan diri bertanding jawatan tersebut.

Syed Azmi Ahmad berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada seluruh pengerusi negeri dan perwakilan ahli yang memberi kepercayaan kepadanya untuk terus menerajui Pertubuhan Alumni 4B Malaysia buat penggal kedua.

“Saya akan meneruskan agenda untuk memperkasakan pertubuhan ini termasuk menyambung balik agenda-agenda yang telah dilaksanakan sebelum ini.

“Insyallah saya akan menjalankan amanah yang telah diberikan kepada saya untuk saya mentadbir pertubuhan ini di peringkat kebangsaan dan juga negeri-negeri,” ujarnya ketika ditemui pada Persidangan Alumni 4B Malaysia Melaka di Pejabat UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya malam tadi (Sabtu).

Syed Azmi Ahmad berkata, seluruh 12 pertubuhan alumni telah menamatkan persidangan termasuk Melaka sebagai negeri terakhir melengkapkan persidangan itu.

Menurutnya, Persidangan Pertubuhan Alumni 4B Malaysia akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) dan akan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada
3 Mei depan.

Beliau berkata, hanya jawatan Naib Presiden, Naib Pengerusi Gerak Nita dan 12 jawatan Majlis Tertinggi (MT) akan ditandingi pada Mei nanti.

Katanya, empat calon bertanding jawatan Naib Presiden bagi mengisi tiga jawatan tersebut manakala MT pula seramai 18 calon telah mengesahkan diri bertanding bagi mengisi 12 tempat.

Sementara itu Hasan ketika ditemui berkata, beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih atas kepercayaan yang diberikan oleh semua pengerusi negeri dan perwakilan memilihnya memegang jawatan Timbalan Presiden yang baharu.

“Saya sendiri terkejut atas kemenangan yang tidak disangka ini, insyAllah saya akan memikul tanggungjawab yang diberikan untuk membantu presiden memperkasakan pertubuhan ini,” ujarnya.

Hasan turut mengekalkan jawatan Pengerusi Pertubuhan Alumni 4B Malaysia Melaka buat penggal kedua berturut-turut selepas menang tanpa bertanding jawatan tersebut. – SM

(Visited 82 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button