Nasional

Kolaborasi UPSI-UMM teroka isu psikologi

PERSATUAN Psikologi di bawah Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengambil peluang mengorak langkah dalam membawa isu psikologi di peringkat antarangbangsa dengan mewujudkan kolaborasi bersama mahasiswa dari Universitas Muhammadiyah Malang Indonesia (UMM) dalam program ASEAN Psychology Symposium (APS).

Usaha itu dilakukan berikutan lawatan sambil belajar mahasiswa UMM ke fakulti berkenaan di Kampus Sultan Azlan Shah,UPSI baru-baru ini.

Pelajar Persatuan Psikologi UPSI menyambut kedatangan pelajar Universitas Muhammadiyah Malang (UMM) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, KLIA 1.

Dekan FPM, Prof Madya Dr. Abdul Talib Mohamed Hashim berkata program itu dapat memberi peluang kepada mahasiswa untuk berkongsi ilmu pengetahuan, pengalaman dan budaya tentang isu psikologi daripada dua perspektif negara yang berbeza.

Justeru, katanya, program itu sangat penting dalam membina hubungan kerjasama antara UPSI dan UMM serta dapat mengenali dan memahami tentang kepentingan mengetengahkan isu psikologi daripada sudut pandang yang lain.

Pengarah Program ASEAN Psychology Symposium (APS), Nurin Zakariah berkata, program berkenaan mampu menjadi penanda aras bagi kedua belah pihak UPSI dan UMM dalam berkongsi ilmu pengetahuan dan pengalaman tentang isu psikologi serta meningkatkan kesedaran betapa pentingnya isu kesihatan mental di masa hadapan.

Sementara itu, Setiausaha program lawatan sambil belajar dari UMM, Ratih Eka Pertiwi berkata program seperti itu harus diteruskan pada masa akan datang kerana ia memberi impak yang positif kepada semua pelajar terutamanya pelajar psikologi daripada UPSI dan UMM.

Pelajar UPSI dan UMM selepas menjayakan Forum Cross Cultural Psychtalk: Between Reality and Perception yang membincangkan isu berkaitan psikologi daripada perspektif berbeza dibincangkan dalam slot ini.

Penasihat pelajar UMM, Ahmad Sulaiman berpendapat bahawa program ini memberi manfaat bukan sahaja kepada pelajar malah beliau sendiri sebagai pensyarah UMM menyedari kesan yang diberikan daripada program ini mampu menjadi batu loncatan kepada kedua belah pihak, UPSI dan UMM dalam membangkitkan hal berkaitan isu psikologi.

“Program ini diisi pelbagai aktiviti yang interaktif merangkumi aktiviti lintas budaya, seperti sesi pertukaran budaya, lawatan ke tempat budaya tempatan, dan penyertaan dalam aktiviti sukan dan kebudayaan untuk memberi pengalaman kepada mahasiswa Indonesia untuk menimba ilmu pengetahuan dalam mengenali Malaysia dari sudut perspektif psikologi.

“Aktiviti yang diadakan bukan sahaja tertumpu kepada perkongisan akademik malah mengangkat budaya yang menjadi salah satu faktor dalam pembentukan personaliti dan karakter seseorang individu,” katanya.

Katanya, pelajar juga berpeluang menghadiri kuliah, seminar, dan melibatkan diri dalam sesi perkongsian ilmu bersama dengan mahasiswa psikologi di UPSI.

Program yang berlangsung selama enam hari itu melibatkan seramai 15 pelajar Indonesia dan dua orang pensyarah UMM.

“Mahasiswa dan pensyarah dari Indonesia juga berpeluang untuk menjalankan proses penanda aras tahap pendidikan psikologi di UPSI untuk mengenal pasti kaedah pembelajaran terbaik yang dapat dilaksanakan di universiti mereka dalam meningkatkan sukatan pelajaran dan kualiti keseluruhan pendidikan psikologi dari kedua belah pihak,” katanya. -SM

(Visited 226 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button