NasionalNegeri

Ketua Jabatan main peranan imej penjawat awam dipandang tinggi

Ketua Jabatan dan agensi perlu memainkan peranan penting bagi memastikan imej dan kredibiliti penjawat awam di Perlis sentiasa berada pada tahap yang memuaskan dan dipandang tinggi, titah Pemangku Raja, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Sehubungan itu, titah Baginda, kawalan penuh perlu dilaksanakan termasuk pengawasan tatatertib ke atas semua pegawai dan kakitangan masing-masing dengan penuh berintegriti.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan berbual dengan salah seorang penerima sumbangan zakat MAIPs.

Baginda bertitah, sebarang pelanggaran peraturan atau tatakelakuan harus diambil tindakan segera selaras dengan Peraturan-Perataturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) Negeri Perlis 1993.

Selain itu, titah Baginda, Ketua Jabatan, agensi serta penjawat awam di negeri ini diharap akan sentiasa memastikan semua perkhidmatan yang diberikan berada ditahap paling memuaskan dengan mengambil kira nilai-nilai yang terbaik.

Baginda bertitah, pegawai- pegawai terbaik sahaja wajar berada dalam perkhidmatan awam di Perlis, dalam memberikan khidmat dengan penuh dedikasi.

Tuanku Syed Faizuddin Putra menyampaikan sumbangan zakat MAIPs, Kit MAIPs Peduli dan beras fidyah kepada salah seorang asnaf di Utan Aji, Kangar.

Titah Baginda, elemen-elemen penambahbaikan juga harus diterapkan setiap masa agar semua pegawai dan kakitangan mempunyai kompetensi serta kredibiliti dalam membantu organisasi masing-masing mencapai visi dan misi ditetapkan.

“InsyaAllah, penjawat awam negeri ini akan sentiasa disegani serta diteladani atas tujuan perkhidmatan dan nilai-nilai murni yang ditunjukkan,” titah Baginda.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian selepas berkenan berangkat menyantuni tiga keluarga asnaf terpilih di Kampung Sentua, Utan Aji di Kangar baru-baru ini.

Salah seorang asnaf menerima bantuan zakat MAIPs yang berkenan dikurniakan oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra.

Mereka terdiri dari Idrus Baharum, 63, Abu Hassan Ahmad, 69, Mohd Yaser Mohd Kassim, 39 telah menerima sumbangan zakat MAIPs daripada Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Yang DiPertua MAIPs.

Masing-masing menerima RM700 setiap seorang secara tunai dan juga barang keperluan harian ‘Kit MAIPs Peduli’ dan beras fidyah. – SM

(Visited 154 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button