Luar Negara

Rogol 13 pelajar, bekas guru ke tali gantung

SEORANG bekas guru dijatuhi hukuman mati di tali gantung atas tuduhan merogol 13 pelajar perempuan sebuah sekolah tahfiz di Bandung, Indonesia.

Keputusan itu dibuat sebuah mahkamah selepas pihak pendakwaan mengemukakan rayuan susulan hukuman penjara seumur hidup yang dijatuhkan ke atas Herry Wirawan, 36, pada Februari lalu.

“Dengan ini, mahkamah menghukum tertuduh dengan hukuman mati,” menurut kenyataan dikeluarkan mahkamah yang diterbitkan di laman sesawang Mahkamah Tinggi Bandung, semalam, lapor Reuters.

Peguam Herry, Ira Mambo enggan mengulas sama ada pihaknya akan memfailkan rayuan kerana beliau perlu melihat penghakiman penuh oleh mahkamah, katanya.

Di antara tahun 2016 dan 2021, Herry didakwa melakukan jenayah seksual terhadap 13 pelajar perempuan yang berusia antara 12 dan 16 tahun. Lapan daripadanya didapati hamil.

Pegawai kerajaan Indonesia termasuk Menteri Pemberdayaan Wanita dan Perlindungan Kanak-kanak turut menyokong rayuan bagi mendapatkan hukuman mati itu.

Bagaimanapun, ia dibantah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia yang menganggap hukuman mati tidak bersesuaian.

Indonesia sebagai negara dengan penduduk beragama Islam paling ramai di dunia, mempunyai puluhan ribu sekolah tahfiz berasrama dan sekolah agama yang lazimnya menjadi pilihan pelajar dari keluarga miskin. – SM

 

(Visited 467 times, 2 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button