Hiburan

Ruhil Amani mahu kembali aktif dalam bidang seni

KALAU menulis berita hiburan, mesti sensasi. Kalau bukan sensasi, bukan berita hiburan namanya tetapi karya dan usaha seseorang anak seni itu kurang mendapat ruang dalam penulisan.

Tanyalah mana-mana wartawan hiburan satu dunia, mesti nak berita yang sensasi atau sengaja disensasikan agar orang mahu membaca penulisan kita.

Bagaimanapun, sama ada mahu paparkan kesensasian seseorang artis itu ataupun mahu membantu perkembangan karier seni seseorang artis itu, terpulang kepada wartawan hiburan berkenaan.

Tepuk dada, tanya selera dan rasanya masyarakat pembaca online hari ini lebih bijak memilih untuk membaca kisah artis dan karier seni.

RUHIL AMANI

Malam tadi, menerusi segmen penstriman secara langsung portal berita SUARA MERDEKA, Mai Sembang, ditampilkan artis jemputan Ruhil Amani Hussein.

Sudah lama tidak menemubual beliau yang merupakan anak seni, memulakan kerjaya nyanyiannya pada usia yang amat muda.

Umur 13 tahun beliau sudah melahirkan album, berpeluang berduet dengan artis yang lebih senior pada ketika itu, DR SAM dan diberikan pula peluang merakamkan satu lagu dalam album DR SAM.

Ruhil Amani tidak pernah mencari publisiti murahan dan suka atau tidak, ketika beliau mengorak langkah sebagai penyanyi, beliau bersandarkan kepada dua elemen iaitu minat dan bakat.

Kedua-dua elemen itu digabungkan pula dengan keberanian untuk beraksi di atas pentas dan jika diimbas kembali, ketika beliau berusia 3 tahun, keberanian menyanyi di atas pentas untuk mendapatkan belon daripada pelakon dan pelawak AR Badul yang mengacarakan satu majlis bersama Seniwati Fawziah Nawi membuktikan anak kepada pasangan Hussein dan Hasnah Hassan ini berani dan berbakat dalam dunia seni.

Malam tadi, dalam tempoh setengah jam, sebenarnya banyak yang ingin ditanya kepada Ruhil Amani tetapi biarlah persoalan dan pertanyaan yang tidak sempat dilontarkan itu, disimpan buat sementara waktu.

Kata Ruhil Amani, “saya mahu membuat kemunculan semula selepas memberi tumpuan kepada keluarga membesarkan anak-anak.

“Saya mahu kembali dengan single terbaharu supaya single itu kelak dapat membuka pintu mengubat rindu peminat yang mengenali saya.”

Benar bagai dikata oleh Ruhil Amani bahawa komitmen beliau terhadap keluarga dengan tumpuan 100% terhadap anak-anak bukanlah berakhir, tetapi mereka sudah besar dan beliau boleh bergiat aktif dalam bidang seni.

Jika suatu waktu dahulu, selain menyanyi menghiburkan para peminat dengan lagu berkonsepkan rock, beliau juga merupakan pelakon yang pernah muncul di layar perak, beraksi di atas pentas teater dan menjadi pengacara.

Hari ini, berbekalkan pengalaman yang luas dalam bidang seni, Ruhil Amani bersedia untuk menyambung semula apa yang pernah dikecapi, ditinggalkan sementara dan membuat pengorbanan seni bagi memulakan sebuah kehidupan. – SM

(Visited 1,007 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button