Nasional

Tukang gunting perlu jalani ujian saringan Covid-19 sebelum beroperasi

PENGUSAHA salun, tukang gunting dan pendandan rambut digalakkan menjalani ujian saringan COVID-19 secara sukarela bagi meyakinkan orang ramai untuk mendapatkan perkhidmatan mereka selepas dibenarkan beroperasi semula Rabu depan.

Presiden Persatuan Penggunting Rambut Bumiputera Malaysia (MBBA) TN Winda Mohd Tahir berkata langkah itu merupakan nilai tambah yang mampu meyakinkan lagi pelanggan, di samping pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) sedia ada yang lain seperti penjarakan sosial, penggunaan pelitup separuh muka serta penggunaan cecair pensanitasi tangan.

Bagaimanapun menyedari kos yang tinggi, beliau berharap sekiranya bantuan dalam bentuk subsidi atau penajaan diberi kerajaan atau mana-mana pihak untuk membantu golongan pengusaha ini yang rata-ratanya terkesan dari segi kewangan selepas tidak dibenarkan beroperasi sebelum ini.

“Ini lebih meyakinkan masyarakat di luar sana tetapi memandangkan ia melibatkan kos yang tinggi, persatuan berharap kalau-kalau ada pihak sudi untuk membantu pengusaha supaya mereka disahkan tahap kesihatannya,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurut TN Winda kebanyakan pengusaha kedai rambut buat masa ini telah bersiap sedia dengan kaedah janji temu menggunakan pelbagai aplikasi termasuk WhatsApp bagi mengelakkan orang ramai berkerumun ke premis mereka.

Tambahnya, persatuan-persatuan kedai gunting rambut dan salun juga sedang berusaha mendapatkan bantuan khas daripada kerajaan memandangkan hampir tiga bulan terpaksa menanggung kerugian kerana tidak dapat menjalankan perniagaan.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pendandan Malaysia Michael Poh pula menjelaskan bahawa sektor perkhidmatan gunting dan dandanan rambut sebenarnya tidak berisiko tinggi dan adalah lebih selamat untuk beroperasi berbanding sektor lain sekiranya SOP dipatuhi.

“Ia adalah bagus untuk industri dandanan rambut …jika kita tidak buka, kita akan mati dan tidak boleh hidup, banyak syarikat akan tutup dan kami akan kehilangan pekerjaan …jika patuh dengan SOP ia tidak menjadi masalah.

“Tujuh persatuan telah bersepakat dan berbincang dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk pembukaan semula dan kerajaan telah mendengar suara kami, ia adalah perkara yang baik,” katanya.

Tujuh persatuan itu adalah Persatuan Pendandan Malaysia; Persatuan Pendandan Bumiputera; Persatuan Penggunting Rambut Bumiputera; Persatuan Pembangunan Kemahiran Dandanan Rambut; Persatuan Pemerkasaan Jurugaya Rambut India Malaysia; Persatuan Pengusaha Jurugaya Rambut India Malaysia dan Persatuan Jurugaya Rambut India Selangor Wilayah Persekutuan.

Sementara itu, pengusaha kedai gunting rambut ‘Substract Barbershop’ di Taiping, Perak, Syadzwan Rosli, 34, lega dibenarkan beroperasi kembali dan tidak mempunyai sebarang masalah untuk mematuhi SOP kerajaan, malah sanggup turun untuk ujian saringan COVID-19 sekiranya diwajibkan ke atas mereka.

“Saya sangat setuju kedai gunting dapat beroperasi semula kerana kami sudah lama tidak boleh beroperasi sejak PKP dilaksanakan dan banyak komitmen perlu dibayar.

“Cuma harapan saya, sekiranya perlu menjalani ujian berkenaan lebih elok sekiranya dibenarkan kami untuk membuat ujian ini di hospital kerajaan sebenarnya, sekurang-kurangnya dapat buat percuma, sebelum kami memulakan kembali operasi kedai masing-masing,” katanya.

Pengusaha kedai gunting rambut F&D Hairdressing di Taman OUG, Kuala Lumpur, Felix Chang, 44, pula berkata premisnya juga akan melaksanakan pemeriksaan suhu badan, menyembur cecair sanitasi di seluruh kedai, menyediakan QR Code untuk menyimpan rekod pelanggan, selain SOP utama yang lain. – BERNAMA

(Visited 241 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button