Nasionalpilihan

RumahPrihatin@GrandSeasons khusus buat miskin bandar Wilayah Persekutuan

IMPAK pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilihat memberi kesan kepada sektor ekonomi dan sosial yang turut menyumbang kepada masalah kesihatan mental dalam kalangan golongan miskin bandar.

Prihatin dengan masalah yang berlaku, Kementerian Wilayah Persekutuan menerusi Yayasan Wilayah Persekutan (YWP) memperkenalkan satu lagi inisiatif iaitu RumahPrihatin@GrandSeasons yang akan bermula pada 15 Julai depan di Hotel Grand Seasons, Jalan Pahang, Kuala Lumpur.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, RumahPrihatin@GrandSeasons merupakan pusat kediaman yang berkonsepkan hotel kebajikan bagi membantu rakyat yang terkesan akibat Covid-19 khususnya kepada golongan miskin bandar di Wilayah Persekutuan.

“Inisiatif ini merupakan satu platform untuk menghimpunkan, mengkordinasi dan merawat para
individu yang terkesan akibat pandemik covid-19 yang dilaksanakan secara bersama dengan sokongan para sukarelawan, persatuan, organisasi korporat dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Terdapat lima komponen utama perkhidmatan yang ditawarkan buat permulaan iaitu Dapur Prihatin yang akan menyediakan 1,000 pek makanan percuma sehari kepada golongan gelandangan, fakir miskin, petugas barisan hadapan, musafir dan golongan yang tidak berkemampuan,” katanya.

Menurut Annuar, Bilik Penginapan Prihatin pula akan menyediakan 300 bilik hotel untuk manfaat
golongan musafir, pelajar, individu-individu yang memerlukan penginapan sementara dan hanya membayar berdasarkan konsep BSM (Bayar Minimum Sekadar Mampu).

Jelas beliau, Khidmat Kesihatan Mental Prihatin akan fokus kepada kesihatan mental dan kaunseling yang dilaksanakan secara perseorangan dan kerahsiaan peribadi.

“Individu yang menerima perkhidmatan ini juga dijamin kerahsiaannya. Ia adalah perkhidmatan khas untuk mereka yang mengalami tekanan hidup akibat Covid 19. Kaunseling yang disediakan adalah oleh kaunselor berdaftar. Selain itu perkhidmatan kaunseling bagi menguruskan beban kewangan turut disediakan,” katanya.

Selain itu, ujarnya, Khidmat Vaksinasi Prihatin pula akan memberi vaksin kepada peniaga, penjaja, golongan yang kurang upaya, gelandangan dan mereka yang memerlukan bantuan khas.

Katanya, pusat ini mampu menempatkan lebih 800 orang pada satu-satu masa dengan penjarakan sosial dan buat masa ini perkhidmatan vaksinasi secara mobil dilaksanakan melalui program MyMedic@Wilayah yang membenarkan pemberian 600 dos vaksin setiap hari.

“Pusat Gerakan Jejak Prihatin pula digerakkan oleh Sukarelawan Wilayah Prihatin (PriVo),
Majlis Perwakilan Penduduk, AJK Surau Masjid, Persatuan Penduduk dan NGO untuk untuk turun padang, menjejak dan menyantuni rakyat di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dan mengumpul maklumat aduan/ bantuan yang diperlukan samada berbentuk fizikal,
mental mahupun kerohanian,” katanya.

Tambahnya, inisiaitif RumahPrihatin@GrandSeasons ini dilihat dapat membantu proses penyaluran bantuan serta perkhidmatan kepada warga Wilayah Persekutuan selaras dengan hala tuju kerajaan untuk membaik pulih keadaan darurat kesihatan, ekonomi, mental dan fizikal rakyat yang begitu terkesan akibat pandemik Covid-19.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh melayari laman sesawang www.yayasanwp.org/rumahprihatin atau e-mel ke [email protected] atau hubungi helpline di talian 01171107898. -SM

 

(Visited 164 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button