Nasional

3 mat rempit perasan “Superman” ditahan dalam Ops Samseng Jalanan

MERASAKAN diri masing-masing seperti super hero, tiga lelaki menunggang motosikal dalam keadaan berbahaya dan bersaing sesama sendiri sambil melakukan aksi “Superman” ditahan dalam Op Samseng Jalanan di Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH) semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Pengkuatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Sembilan, Supt. Shafiei Muhammad berkata, operasi yang bermula pada pukul 4 petang itu menumpukan penunggang motosikal sempena cuti sambutan Tahun Baharu Cina.

“Hasil daripada operasi ini, tiga individu berusia dalam

lingkungan 20-an bersama tiga motosikal yang ditunggang, ditahan kerana melakukan kesalahan memandu secara melulu, berbahaya dan bersaing sesama sendiri,” katanya.

Berita Harian melaporkan Shafiei sebagai berkata, kesalahan dikesan dilakukan bermula dari kilometer 15.2 hingga 19 dari arah Port Dickson menghala ke arah Plaza Tol SPDH.

Beliau berkata, dua lelaki yang bekerja dalam sektor swasta berjaya ditahan bersama motosikal masing-masing selepas melakukan aksi bersaing sesama sendiri dengan menundukkan badan.

“Seorang lagi lelaki yang bekerja sebagai mekanik ditahan bersama sebuah motosikal yang ditunggang selepas melakukan aksi “Superman” dengan cara meniarap di atas tempat duduk motosikal yang ditunggangnya,” jelas Shafiei.

Shafiei berkata, semua individu yang ditahan dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Port Dickson untuk tindakan lanjut.

“Ketiga-tiga mereka akan direman dan akan dituduh mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang mana jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM15,000.

“Mereka juga boleh hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama lima tahun,” katanya. – SM

 

(Visited 179 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button