Nasional

Majikan tapak pembinaan ambil mudah penginapan pekerja

JABATAN Tenaga Kerja (JTK) Perlis mendapati ada majikan di negeri ini yang gagal menyediakan penginapan yang selesa untuk pekerjanya.

Perkara ini dikesan hasil Operasi Buruh Paksa dan Pemerdagangan Orang (Ops Benteras) yang dijalankan di sebuah tapak pembinaan  di Padang Besar, semalam.

Ops Banteras JTK Perlis di tapak pembinaan di Padang Besar semalam.

Dalam Ops Banteras ini, selain melibatkan 15 pegawai penguatkuasa JTK, turut sama pegawai penguatkuasa dari Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Ops Benteras ini juga diadakan secara serentak di seluruh Semenanjung Malaysia yang mana turut disertai oleh agensi berkaitan.

Di Perlis, ia diketuai sendiri oleh Pengarah JTK,  Iskandar Jassa.

Iskandar berkata, antara kesalahan dilakukan oleh majikan kerana melanggar Akta 446 iaitu di bawah seksyen 24D di mana gagal mendapatkan perakuan penginapan bagi penginapan yang disediakan kepada pekerja.

Penguatkuasa JTK Perlis memeriksa tempat penginapan pekerja di sebuah tapak pembinaan pada Ops Banteras di Padang Besar, semalam.

Selain itu katanya, majikan juga didapati gagal mematuhi Peraturan- Peraturan Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja.

Katanya, majikan didapati tidak menyediakan katil, tilam, almari berkunci,dan peralatan keselamatan seperti alat pemadam api dan “first aid kit”.

Iskandar berkata,  pihaknya menjangka akan membuka 4 kertas siasatan di atas beberapa kesalahan yang telah dikenalpasti.

“Wakil majikan juga telah diberikan notis untuk hadir ke pejabat untuk mengemukakan dokumen berkaitan penggajian memandangkan majikan ini juga disyaki melakukan pelanggaran dibawah Akta Kerja 1955 seperti tidak menyediakan Kontrak Perkhidmatan dan sesalinan penyata gaji,” katanya.

Iskandar berkata, JTK akan terus melaksanakan penguatkuasaan undang-undang di bawah bidang kuasa jabatan bagi memastikan keharmonian industri dapat dikekalkan.

Di samping itu katanya, pemantauan berterusan terhadap sektor-sektor pekerjaan seperti pembinaan, pertanian, perkilangan dan perkhidmatan yang cenderung kepada kemungkinan berlakunya elemen buruh paksa dan pemerdagangan orang akan diteruskan dari masa ke semasa kerana ini boleh menjejaskan imej negara di mata dunia. -SM

(Visited 576 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button