Nasional

NRECC komited tingkat sistem penyampaian

KEMENTERIAN Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) komited untuk meningkatkan sistem penyampaian menerusi projek infrastruktur yang memberi manfaat kepada rakyat Sabah.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, beliau sendiri telah meninjau perkembangan terkini di beberapa  projek dan inisiatif di bawah NRECC menerusi lawatan kerja yang dihadiri bersama-sama delegasi Kementerian ke negeri Sabah pada hari ini dan esok pada 26 Februari 2023.

“Saya mendapati projek-projek yang telah dan sedang dilaksanakan, mampu mengukuhkan sistem bekalan air dan elektrik selain berupaya memberi impak kepada ekonomi Sabah.

“Lawatan dimulakan dengan kunjungan hormat ke atas Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, Ketua Menteri  Sabah bagi mengukuhkan jalinan kerjasama antara pihak Kementerian dengan Kerajaan Negeri Sabah,” katanya dalam  kenyataan.

Antara lokasi yang dilawati hari ini ialah Projek Pembinaan Loji Rawatan Kumbahan dan Rangkaian Paip Pembetungan di Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP) Fasa 1.

Projek ini merangkumi sistem rangkaian paip pembetungan sepanjang 28 kilometer panjang, 8 stesen pam serta loji rawatan kumbahan berpusat dengan kapasiti 100,000 Populasi Setara atau Population Equivalent (PE) yang bertujuan merawat air sisa kumbahan dalam kawasan tadahan Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP) sehingga
tahun 2040.

Lawatan ini juga melibatkan projek-projek bagi mengukuhkan sistem pembekalan elektrik di negeri Sabah iaitu projek Pencawang Masuk Utama (PMU) Tanjung Lipat, Kota Kinabalu dan projek Pencawang Pembahagian Utama (PPU) di Kundasang yang merupakan salah satu projek berimpak tinggi bagi meningkatkan sistem bekalan
elektrik di Sabah secara amnya, dan daerah Ranau khasnya. Dengan penambahan satu (1) unit alatubah (transformer) di PPU Kundasang ini, ia dapat mengurangkan gangguan bekalan sekiranya berlaku penutupan bekalan atau senggaraan di PPU Kundasang.

Menurut Nik Nazmi, apabila siapnya projek ini, serta beberapa projek grid penting yang lain di daerah Ranau seperti PMU Ranau dan PPU Lingkudau, keseluruhan daerah Ranau dan pekan Kundasang akan dapat  disambungkan kepada talian grid, seterusnya meningkatkan daya harap elektrik sehingga 32 peratus atau pengurangan purata gangguan sehingga 700 minit/setahun.

“Kos operasi bagi menjana elektrik untuk daerah Ranau dan Pekan Kundasang juga dapat dijimatkan daripada penggunaan minyak diesel yang kini menelan kos sehingga RM45 juta setahun.

“Penyiapan projek Penambahan Punca Bekalan di PPU Kundasang akan dapat dimanfaatkan oleh 4,832 pengguna di Kundasang. Tempoh gangguan bekalan juga dapat dikurangkan kerana proses membaikpulih bekalan elektrik ke Kundasang dan sekitar menjadi lebih cepat dan teratur.

“Saya turut berpeluang melawat ke tapak lokasi cadangan untuk membina Kompleks Mini NRECC di Penampang, Sabah dan Sabah Oil Gas Terminal (SOGT). Saya telah diberi penerangan mengenai premis SOGT yang aktiviti  utamanya ialah menerima, memproses, menyimpan dan mengeksport minyak mentah, gas dan kondensat dari
pelantar minyak yang ada di perairan negeri Sabah.

“Pihak SOGT telah memastikan pematuhan ke atas semua syarat-syarat kelulusan Environmental Impact Assesment (EIA) meliputi pematuhan kawalan pencemaran air, udara dan buangan terjadual.

“Esok pula kami akan ke Kinabalu Geopark atau dikenali sebagai Aspiring Kinabalu UNESCO Global Geoparks. Kinabalu Geopark yang mengandungi sebanyak 46 geotapak, 12 biotapak dan 8 tapak budaya kini dalam proses untuk mendapatkan pengiktirafan di peringkat antarabangsa sebagai UNESCO Global Geopark.

“Melalui  pembangunan geopark, pihak Kementerian yakin ia akan dapat memacu sektor geo-pelancongan yang akan dapat memberikan impak yang besar kepada negeri Sabah.

“Menerusi lawatan kerja ini, saya yakin usaha NRECC untuk meningkatkan kemudahan dan prasarana yang efisien akan memberikan impak yang positif kepada rakyat di negeri Sabah,” katanya. – SM

(Visited 184 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button