NasionalUncategorized

Lapan individu termasuk penerbit iklan raya promosi aktiviti judi ditahan

SEBANYAK lapan individu yang terbabit dalam iklan raya yang tular di media sosial kerana mempromosikan aktiviti judi telah ditahan polis.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, kesemua yang ditahan ialah lima lelaki dan tiga wanita.

“Kesemua mereka didapati terlibat sebagai pelakon, ejen artis, jurukamera, dan produser video berkenaan.

“Semua individu yang ditangkap mengaku menerima bayaran bagi pembikinan penggambaran video berkenaan yang diadakan di dua lokasi iaitu di Ampang dan Hulu Langat pada 13 Mac.

“Setakat ini, polis menerima 38 laporan polis yang dibuat berkaitan dengan video berkenaan susulan daripada siasatan dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Acryl Sani, kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Jelasnya, usaha untuk mengesan dalang sebenar disebalik pembikinan video tersebut masih diteruskan.

“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terbabit dalam apa jua perjudian di negara ini. Orang ramai juga diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi kerana siasatan masih dijalankan,” katanya.

Sejak semalam kecoh di media sosial mengenai video iklan berkenaan yang dianggap menghina umat Islam dan cuba mempengaruhi umat Islam bermain judi bagi mencari dana untuk pulang berhari raya.

Pelakon iklan terbabit termasuk dua wanita dilihat memakai pakaian tradisional iaitu berbaju kurung dan berbaju Melayu bagi lelaki menyanyikan lagu bertemakan hari raya sambil mempromosi laman web perjudian.

Berlatarbelakangkan kampung Melayu, lirik lagu iklan syarikat judi itu antara lain berbunyi,”Tapi mengapa kau muram sahaja, duduk termenung seorang diri, nak balik kampung duit tak ada, tapi ada cara untuk mencari, ******* ada, apa ditunggu marilah cuba, untung nasibmu engkau berjaya, cuci semua kemudian beraya. GDBet333 banyaklah uang boleh dimenangi, mari ke ******* menang banyak pasti happy.”

Perkara itu menimbulkan rasa tidak puas hati pelbagai pihak terutama umat Islam kerana ia jelas menyinggung sensitiviti umat Islam di negara ini. -SM

(Visited 274 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button