NasionalNegeri

Projek SMART SBB “ala Sekinchan” capai sasaran

Kerajaan berpuas hati apabila Projek Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) Mini Sekinchan sebagai usaha bagi mengurangkan kebergantungan negara kepada beras import pada masa akan datang telah berjaya mencapai sasarannya.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata,
ini kerana projek “ala Sekinchan” ini dijangka akan mampu mengeluarkan hasil padi sehingga 10 tan sehektar.

Mohamad melihat hasil padi hasil projek “ala Sekinchan” di Kampung Lat 1000, Simpang Empat, Perlis hari ini.

Beliau berkata, projek ini yang melibatkan kawasan seluas 97.70 hektar di Kampung Lat 1000, Simpang Empat, Perlis dan 75.268 hektar di Kampung Tok Mengkula, Ayer Hitam, Kedah telah mula dituai hari ini bagi kali pertama selepas 105 hari ditanam.

Katanya, berbanding sebelum ini hasil padi hanya antara 4 hingga 5 tan sehektar tetapi menerusi projek “ala sekinchan” yang menekankan penjagaan rapi termasuk penggunaan baja dan racun yang sesuai telah mampu meningkatkan hasil berganda.

Beliau berkata, kerajaan juga telah memperluaskan projek itu yang terbaharu di Jertih, Terengganu manakala di Kelantan masih lagi dalam perbincangan.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Santai Agro Madani Penuaian Padi SMART SBB Mini Sekinchan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di Kampung Lat 1000, Simpang Empat, Perlis hari ini.

Hadir sama Pengerusi MADA Datuk Dr Ismail Salleh, Pengerusi Lembaga Pengurusan Pertubuhan Peladang, Datuk Mahfuz Omar, Pengerusi Jemaah Pengarah NAFAS, Datuk Zamri Yaakob dan Exco Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, Razali Saad.

Mohamad berkata, beliau juga berpuas hati apabila hari ini dapat melihat sendiri dengan penggunaan mesin tuaian padi yang lebih ringan maka hasil tumpahan sangat sedikit.

Beliau sebelum ini memang amat menekankan penggunaan mesin padi lebih ringan bagi mengelak tumpahan banyak yang akan mengurangkan hasil padi.

“Biasalah kalau tumpah 1 hingga 2 peratus tetapi sebelum ini memang banyak iaitu mencapai 10 peratus,” katanya.

Beliau berkata, jika tuaian padi mencapai 100 tan maka petani akan rugi 10 tan akibat padi tumpah. – SM

(Visited 359 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button