Auto TravelBerita Auto

Acara RFC cabar kemahiran pemanduan dan ketahanan jentera pancuan empat roda

SEBANYAK 25 jentera pacuan empat roda telah berjaya menyempurnakan acara Prologue Rainforest Challenge (RFC) yang berakhir semalam berdekatan Bulatan Sultan Azlan Shah, di sini

Ia adalah sebahagian daripada empat peringkat pertandingan RFC Grand Final kali ke-26 yang dadakan di negeri Perak mulai 1 hingga 11 Disember ini.

Pengarah RFC, Luis J.A Wee berkata, para peserta telah berjaya menamatkan 10 Special Stages (SS) pada acara Prologue pada hari semalam dan kelmarin yang menawarkan laluan-laluan berhalangan yang mencabar skil pemanduan dan ketahanan serta kemampuan jentera 4×4 mereka.

Kredit foto: Henry Berbar

“Selepas Prologue ini, para peserta akan menghadapi 30 SS lagi di peringkat Terminator, Predator, Twilight Zone yang akan diadakan di kawasan hutan di Ulu Kuang, Sungai Durian, Bekut dan SS Finale di Lata Felda Lawin Selatan.

“Secara keseluruhannya, para peserta akan melengkapkan 40 SS yang terdiri daripada halangan-halangan mencabar, ditambah pula pada musim monsun yang menghasilkan hujan lebat yang pastinya menjadikan acara pada kali ini lebih sukar tetapi sangat menarik terutamanya kepada penggemar-penggemar sukan lasak,” katanya.

Kredit foto: Henry Berbar

Selain 25 jentera 4×4 peserta, RFC Grand Final ke-26 ini turut disertai kira-kira 300 peserta yang terdiri daripada anggota sokongan dan wakil media tempatan dan antarabangsa seperti Russia, Mongolia, China, Korea Selatan, Amerika Syarikat, Vietnam, India, Sri Lanka, Thailand, Jepun, Italy, Filipina, Indonesia, France dan Slovenia.

RFC merupakan pertandingan pacuan empat roda yang berjaya memperkenalkan Malaysia di mata dunia sehingga dinobatkan tempat ke-3 daripada 10 pertandingan permotoran paling lasak di dunia sebaris dengan Dakar Rally, BAJA Race, Le Mans 24hr Race dan Isle of Man Race.

Kredit foto: Henry Berbar

Penganjuran RFC Grand Final di Perak ini merupakan kali kedua diadakan setelah kali pertama pada 2004. Setiap tahun, RFC Grand Final dianjurkan di negeri-negeri terpilih semasa musim hujan monsun di hujung tahun dan berjaya menarik pasukan, penggemar dan pengunjung dari Malaysia dan tidak kurang dari 25 negara asing.

Sepanjang 26 kali penganjurannya, acara tersebut telah mencapai kejayaan dalam membantu mengharumkan nama negara di mata dunia dan seterusnya mencapai objektif mempromosikan Malaysia sebagai hab pelancongan sukan terutamanya sebagai destinasi penganjuran kejohanan sukan permotoran lasak bertaraf antarabangsa. – SM

Kredit foto: Henry Berbar

Artikel berkaitan > Pertandingan pacuan empat roda RFC 2023 Grand Final gegar bumi Perak

(Visited 83 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button