Hiburan

Hijjaz tukar lagu Tan Sri P.Ramlee jadi lagu selawat, moga jadi ladang pahala buat semua

Lebih lima tahun tidak muncul dengan single terbaru, kumpulan nasyid Hijjaz akhirnya mengubati kerinduan peminat mereka menerusi lagu Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang ditukar menjadi lagu selawat.

Menariknya, lagu Tiada Kata Secantik Bahasa 2020 itu turut menampilkan duo rap terkenal tanah air, Kmy Kmo dan Lucka Sickta serta bekas peserta program realiti Mentor musim ketujuh, Pasya.

Bagi menampilkan kelainan selepas sekian lama tidak memiliki buah tangan terbaru, Hijjaz menyuntikkan eleman segar ke dalam single terbaru itu apabila memasukkan elemen Rock Nasyid Rap (RNR).

Anggota Hijjaz, Isman Nadim Isam yang juga pencetus idea kepada TKSB 2020 malah turut bertindak sebagai penulis lagu, lirik serta penerbit lagu itu berkata, dia mendapat ilham hampir tiga tahun lalu ketika berada di Madinah.

“Sewaktu berada di Madinah sekitar 2018, saya terfikir kenapa tidak lagu itu digubah menjadi lagu selawat. Saya berhasrat menukar liriknya yang memuji wanita kepada memanjatkan selawat ke atas Rasullullah.

“Semoga dengan karya itu, dapat menjadi ladang pahala bukan saja kepada mereka yang turut berselawat apabila mendengarkan lagu kami, malah pahala itu dapat mengalir kepada Allahyarham Tan Sri P Ramlee, itulah objektif utama saya.

“Jadi sepanjang di Masjid Nabawi, saya gunakan kesempatan itu berbual-bual dengan Rasullullah, sambil meminta baginda mengaminkan doa saya. Alhamdulillah setelah hampir tiga tahun, hasrat itu akhirnya termakbul,” kata Isman.

Dalam pada itu, Hijjaz yang sebelum ini pernah popular melalui lagu Sumayyah tidak kisah sekiranya ada yang mempertikaikan tindakkan mereka mengambil jalan mudah dengan mengambil lagu Seniman Agong itu yang diberikan nafas baru.

Menurut Isman, dia tidak menafikan sudah sekian lama tidak tampil dengan produk terbaru, tentunya mereka mahukan sebuah lagu yang mudah diterima dan mesra di telinga pendengar.

Lagipun katanya, ia bukanlah satu kesalahan apatah lagi lagu itu juga dapat memberi manfaat kepada Allahyarham Tan Sri P Ramlee juga.

“Kami memang kami tidak nafikan, antara sebab kenapa kami pilih lagu Allahyarham Tan Sri P Ramlee kerana lagunya memang sudah melekat di hati kebanyakkan daripada kita.

“Kami tidak kisah sekiranya ada yang mempertikaikan tindakan kami itu. Kami tidak melakukan kesalahan pun, sebaliknya kami hanya ingin mengajak peminat untuk bersama-sama berselawat.

“Kami juga sebenarnya cuba membawa kelainan, kami tidak mahu nasyid berada pada takuk sama sebab itu kami berkolaborasi dengan penyanyi rock dan rap,” katanya.

TKSB 2020 sudah pun dilancarkan empat bulan lalu, namun disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) proses promosi lagu berkenaan tidak dapat dilakukan. Oleh itu, Hijjaz kini giat untuk mempromosikan lagu berkenaan supaya ia dapat dinikmati oleh lebih ramai pendengar.

Lagu TKSB 2020 boleh didengar di semua platform penstriman muzik seperti Spotify, Apple,Music, Joox, Deezer dan KKBOX, manakala muzik videonya boleh ditonton melalui saluran YouTube Universal Music Malaysia. -SM

(Visited 332 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button