Belang Bertempat

Azam Baki pastikan SPRM bebas `mangsa politik’

KEBELAKANGAN ini terutama dalam sebulan ini sejak seorang setiausaha politik bekas menteri ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Belang perasan badan itu dihentam kiri kanan, tengah belakang.

Orang politik dan pihak berkepentingan ambil bahagian agresif menghamburkan kritikan terhadap Datuk Seri Azam Baki yang kini mengetuai SPRM. Semasa era Latheefa Koya tidak begitu. `Segalanya baik-baik belaka’ – setiap tangkapan atau serbuan terhadap suspek rata-rata ‘dianggukkan kepala’ oleh pengkritik Azam hari ini.

Ikutilah komen yang dibuat oleh Kumpulan Teoh Beng Hock Trust for Democracy yang mendakwa soal siasat SPRM terhadap Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang lama melanggar hak asasi manusia seperti yang dinyatakan dalam Artikel 24 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat.

Beberapa blog dan portal yang mempertahankan tindakan SPRM, Belang perhatikan menyinga dengan kenyataan Pengarah Komunikasi Parti Amanah, Khalid Samad yang mendakwa penahanan Setiausaha Politik Presiden Amanah disengajakan. Kononnya, dakwa Khalid, bagi mewujudkan persepsi Pakatan Harapan juga terlibat rasuah seperti pemimpin Barisan Nasional dan Perikatan Nasional.

Wah! lancang sungguh kata-kata Khalid yang terkenal dengan mulut celupar, sesekali adab dikesampingkan.

Tohmahan dilemparkan terhadap SPRM dan Azam sudah tidak terkira banyaknya. Sedangkan isu sebenar iaitu gejala rasuah yang disiasat oleh SPRM tenggelam. Masyarakat sudah diheret terlalu jauh dalam isu ini sehinggakan kita tergelincir daripada landasan sebenar.

Begitupun, Belang menaruh kepercayaan tinggi terhadap Azam yang dikenali sebagai individu berpengalaman luas, cekap, mengetahui operasi peringkat lapangan dan berdedikasi tinggi serta diyakini memastikan kesinambungan transformasi SPRM.

Ini sekali gus bertindak sebagai ketua yang mampu memberi inspirasi untuk membawa seluruh warga SPRM ke tahap piawaian tinggi dalam perjuangan membanteras rasuah.

SPRM di bawah Azam perlu memastikan badan itu tidak sahaja bergerak bebas, malah harus kelihatan bebas.

Hal ini penting dalam usaha membebaskan badan pencegah rasuah itu daripada pihak berkepentingan termasuk kerajaan dan politik.

Tempoh hari, Azam yang ditanya dalam satu program sebuah stesen televisyen satelit tentang bagaimana SPRM mahu memastikan pihaknya lebih bebas dalam menjalankan siasatan serta mengambil tindakan terhadap pihak yang terbabit rasuah tanpa campur tangan mana-mana pihak.

Dan ini jawab Azam:“SPRM perlu mewujudkan Suruhanjaya Perkhidmatan SPRM sendiri untuk membolehkan kita dapat penjawatan kita sendiri. ‘We hire and fire,’ oleh SPRM.

“Mengambil contoh di luar negara, dana yang diperoleh SPRM itu bukan datang dari kerajaan.

“Maka, sekiranya perkara ini boleh dilakukan, kami akan bergerak dengan lebih baik tanpa campur tangan mana-mana pihak,” katanya.

Undang-undang sedia ada sememangnya telah membebaskan SPRM daripada sebarang campur tangan. Namun, tegas Azam, masyarakat perlu faham tentang adanya pembahagian kuasa.

Ini kerana tugas SPRM untuk menjalankan tindakan penyiasatan dan kuasa eksekutif sahaja. Selebihnya pula diberikan kepada kehakiman dan perundangan.

Ketika banyak pihak mempersoalkan kes banglo melibatkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, Azam tampil meminta orang ramai tidak keliru dengan peranan SPRM sebagai badan penyiasat rasuah dan tidak bertanggungjawab dalam menentukan kes yang dibicarakan di mahkamah.

Dalam kes Guan Eng yang sebelum ini pernah disiasat ketika kerajaan masih di bawah pimpinan Barisan Nasional, jelas Azam, ia tertakluk kepada penilaian Pendakwa Raya dan Peguam Negara.

“Kes-kes yang ditarik balik adalah berasaskan penilaian Peguam Negara dan Jabatan Peguam Negara. Tak kisahlah siapa pun dia dan bila dia disiasat, SPRM akan menyiasat berdasarkan maklumat yang diperoleh.

“Kita buka kertas siasatan, tetapi sama ada ia akan berakhir dengan pendakwaan atau tidak, ia bergantung kepada dapatan fakta kes.

“Dalam kes Lim Guan Eng, Pendakwa Raya tidak memohon untuk kes ditarik balik, sebaliknya hanya permohonan DNAA atau discharged not amounting to an acquittal (permohonan untuk melepaskan tanpa membebaskan tertuduh). Tetapi mahkamah yang membuat keputusan agar beliau dilbebaskan,” katanya sambil menegaskan, SPRM tidak mempunyai kuasa untuk menarik balik kes.

Penjelasan tersebut dinyatakan beliau ketika ditemu ramah dalam program SPRM 360 di Bernama Radio sebelum ini.

Azam juga tidak berselindung apabila meluahkan kebimbangan berkenaan peningkatan kes rasuah dalam beberapa sektor. Iaitu perolehan, penguatkuasaan dan grand corruption (korupsi di peringkat tertinggi kerajaan yang mengganggu dasar atau fungsi pusat negara).

“Situasi ini akan menyebabkan kesan yang besar dari segi ekonomi kerana akan berlakunya ketirisan. Kerana itu fokus kita sekarang adalah pada kes-kes sebegini dan membabitkan mereka yang mempunyai kuasa.

“Dalam keadaan ekonomi negara sekarang, kita tidak mahu penjenayah-penjenayah ini membuat kerosakan lebih besar,” kata beliau.

Beliau turut mendedahkan sebelum ini analisis SPRM terdapat ramai pegawai kerajaan daripada sektor perolehan dan penguatkuasaan terlibat menerima rasuah berbentuk ‘pakej’ tertentu.

Kebanyakan pakej rasuah yang ditawarkan pihak tertentu berbentuk perkhidmatan hiburan dan seks. Ia datang dalam bentuk pakej hiburan contoh bermain golf dan seks, pergi kelab malam dan pusat karaoke.

Turut termasuk `pakej’ melancong ke luar negara hingga pergi dengan ‘business class’ satu keluarga atas urusan tender dan sebagainya.

Waima. apa pun, Belang sempat memetik ungkapan seorang netizen atau barangkali bloggers yang menggelar dirinya “Abang Bunga”. Kata Abang Bunga:

“Moral para pegawai dan petugas SPRM tidak akan terjejas dengan tohmahan sebegini. Tugas memerangi rasuah dan penyelewengan di mana-mana negara berdepan dengan cabaran getir.

“Halangan utama adalah daripada golongan korup minda yang mempolitikkan kes rasuah.
Pemikiran yang korup itulah yang akhirnya menjadikan SPRM sebagai kambing hitam dan mangsa politik.”
-SM

(Visited 448 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button