NasionalNegeri

8,910 keturunan Siam di negara ini dapat kembali taraf Bumiputera

BERITA gembira untuk masyarakat Siam di seluruh negara apabila mereka mendapat kembali taraf sebagai  Bumiputera.

Kerajaan hari ini secara rasmi membenarkan sejumlah 8,910 individu yang didaftarkan sebagai keturunan Thai di dalam sijil kelahiran mereka sebelum ini secara automatik bertukar ke status sebagai keturunan Siam.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin ketika mengumumkan demikian berkata, namun setiap individu berkenaan perlu menguruskan permohonan kad pengenalan baharu di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang berhampiran dengan kediaman masing-masing.

Masyarakat Siam beratur untuk mendapatkan kad pengenalan baharu pada Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) JPN) di PULAPEN, Pusat Koreksional Perlis di Jalan Kok Klang, Kampung Guar Nangka, Arau Perlis.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Bersama Masyarakat Siam di Pusat Latihan Penjara (PULAPEN), Pusat Koreksional Perlis di Jalan Kok Klang, Kampung Guar Nangka, Arau Perlis.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri, Hasnol Zam Zam Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Datuk Ruslin Jusoh dan Pengerusi Persatuan Siam Malaysia, Senator Ak Nan Eh Took.

Pada majlis itu juga, Hamzah menyampaikan kad pengenalan kepada 30 penerima terpilih yang telah diselaraskan maklumat keturunannya.

Hamzah berkata, disebabkan masalah teknikal di sistem JPN sebelum ini mengenai ketidakselarasan maklumat keturunan telah menimbulkan kesukaran kepada kaum Siam.

Katanya, dalam sijil kelahiran mereka dicatatkan sebagai keturunan Thai sedangkan mereka sekian lama menetap di negara ini.

“Sebenarnya kaum Siam termasuk di dalam golongan Bumiputera tetapi menghadapi masalah untuk mendapat sebarang kemudahan yang disediakan kerajaan apabila dicatat dalam kad pengenalan berketurunan Thai,” katanya.

Beliau berkata, ini termasuklah bagi mendapatkan kemudahan pinjaman Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan peluang belia untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi MARA (UiTM). – SM

(Visited 1,609 times, 2 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button