Politik

Kerajaan tidak sepatutnya berterusan menggunakan PKP

DAP dilihat tidak bersetuju dengan kerajaan yang berterusan bergantung kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk membendung penularan Koronavirus (Covid-19).

Hal tersebut pernah dilakukan kerajaan sekali pada Mac 2020 selama kira-kira enam minggu, namun tidak wajar untuk terus digunakan.

Kerajaan dikritik sepatutnya menggunakan tepoh PKP pertama pada tahun lalu untuk merancang dan menyusun strategi jangka panjang terhadap pengurusan pandemik Covid-19.

Malah, tindakan menguatkuasakan PKP2.0 didakwa dilakukan pada saat akhir dan membiarkan rakyat berada dalam kekeliruan.

Tambahan pula, PKP sememangnya memberi kesan untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19, namun dalam masa sama memberi kesan buruk.

“Kerajaan Perikatan Nasional (PN) bukan sahaja gagal dalam mengurus krisis Covid-19 di negara ini, malah gagal belajar daripada kesilapan sendiri terutama ketika kali pertama menguatkuasakan PKP.

“Paling penting adalah, PKP hanya memberi kita masa, tetapi tidak menyelesaikan masalah. Kerajaan sepatutnya membuat persediaan terhadap senario terburuk dan strategi jangka panjang untuk mengurus pandemik.

“Tetapi, sudah setahun pandemik berlalu, namun tiada tindakan yang mampan, mudah dijangka, spesifik dan jangka masa panjang.

“Terlalu banyak kelompongan dan isu dalam gelombang pertama dan kedua yang tidak diurus dengan baik menyebabkan kita akhirnya terperangkap dalam situasi sama.”

Kata Ahli Parlimen Badar Kuching, Kelvin Yii Lee Wuen, dalam satu kenyataan hari ini mengkritik tindakan penguatkuasaan PKP2.0.

Tambahnya, kerajaan juga gagal memberi keyakinan kepada rakyat dalam memastikan pembendungan Covid-19 ini akhirnya dapat dilakukan dan tiada lagi gelombang baharu.

Bukan itu sahaja, Kelvin Yii turut mendakwa tindakan kerajaan membuatkan pelabur asing tidak berasa yakin untuk menanam modal di negara ini.

Kerajaan juga digesa menyatakan dengan jelas mengenai pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) terhadap  orang awam dan perniagaan.

Justeru, wakil rakyat DAP itu meminta kerajaan mengambil perhatian terhadap lima perkara termasuklah bantuan kepada rakyat dan isu pendidikan ketika PKP.

“Tingkatkan ujian saringan kepada umum dan kemampuan pengasingan termasuk tidak melindungi maklumat jangkitan serta memberikan SOP yang jelas.

“Kemudian sediakan perkhidmatan kaunseling kepada mereka yang terkesan akibat pengasingan (kuarantin) termasuk sokongan emosi kepada perugas barisan hadapan yang semakin tertekan dengan penularan wabak serta peningkatan kes.

“Kerajaan juga perlu memberikan bantuan kewangan termasuk moratorium pinjaman automatik terutama kepada mereka yang terkesan akibat PKP.

“Bereskan masalah jurang teknologi dalam melaksanakan pendidikan secara digital antara rakyat yang berpendapatan tinggi dan rendah, sama ada di bandar ataupun kawasan pedalaman.

“PKP hanya memberikan masa, tetapi tidak menyelesaikan masalah. Kerajaan tidak boleh menjadikan pandemik ini sebagai alasan kerana kita sepatutnya sudah tahu menguruskannya apabila setahun sudah berhadapan dengan krisis.

“Sebab itulah kerajaan sepatutnya menggunakan masa ini dengan baik untuk tidak terbelengu dengan politik dan kepentingan untuk mempertahankan kedudukan,” katanya. – SM

(Visited 142 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button