Ekonomi

iRakyat luaskan ekosistem perbankan digital pelanggan

BANK Rakyat hari ini melancarkan aplikasi perbankan mudah alih, iRakyat bagi memperluaskan lagi ekosistem perbankan digital kepada pelanggannya.

Aplikasi baharu ini memberi keselesaan kepada pelanggan untuk mengakses akaun Bank Rakyat mereka dengan lebih pantas dan selamat melalui peranti mudah alih masing-masing.

Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Abd Rani Lebai Jaafar berkata, selain memperluas ekosistem perbankan digital sedia ada, aplikasi perbankan mudah alih iRakyat juga mengikuti gaya hidup digital semasa dalam persekitaran pasca pandemik Covid-19 yang mana kebanyakan transaksi perbankan dilakukan secara dalam talian.

“Peningkatan terhadap penggunaan kemudahan e-payment dalam kalangan masyarakat juga merupakan salah satu faktor pendorong Bank Rakyat untuk merealisasikan inisiatif ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, melalui aplikasi perbankan mudah alih iRakyat, pelanggan dapat menyemak maklumat akaun seperti jumlah baki dan penyata akaun bagi Akaun Simpanan-i dan Semasa-i Elektronik, Akaun Deposit-i Berjangka, Kad Kredit-i, Pembiayaan-i serta Pajak Gadai-i pada setiap masa.

Katanya lagi, pelanggan juga boleh melakukan pindahan dana serta pembayaran bil melalui aplikasi ini yang turut menyokong urusan Lembaga Tabung Haji (TH) serta kemudahan DuitNow.

iRakyat melengkapkan ekosistem perkhidmatan digital Bank Rakyat yang secara tidak langsung turut menawarkan pelanggan serta anggota pengalaman yang hebat selaras dengan Misi Bank, “Memacu Kemakmuran Ekonomi Anggota, Pelanggan dan Negara Bangsa”, jelasnya.

Tambah beliau lagi, pengenalan kepada semua perkhidmatan digital ini amat bersesuaian dengan kehendak situasi masa kini serta penerapan norma baharu apabila segalanya di hujung jari pelanggan.

“Seiring dengan era digitalisasi, Bank Rakyat sentiasa progresif dalam memanfaatkan teknologi bagi memastikan kita terus kekal relevan serta lestari bagi memenuhi keperluan perbankan Islam milenial”, tambah beliau.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Syed Abdul Aziz Syed Hassan pula berkata, pelancaran aplikasi ini melambangkan komitmen Bank Rakyat dalam mencapai aspirasi digitalisasi Bank untuk menawarkan sistem perbankan Islam berintegrasi yang lebih cekap dan berkesan dengan berpacukan teknologi terkini.

“Aplikasi iRakyat ini juga sejajar dengan hasrat Kerajaan dalam menggalakkan perbelanjaan digital atau transaksi tanpa tunai (cashless).

“Pelancaran aplikasi ini bakal meluaskan kebolehniagaan Bank Rakyat pada masa akan datang, khususnya dalam menawarkan lebih banyak perkhidmatan baharu dalam ekosistem pembayaran digital”, ujar beliau dalam kenyataan yang sama.

Katanya lagi, aplikasi perbankan mudah alih iRakyat kini boleh dimuat turun menerusi App Store dan Google Play bagi urusan perbankan harian. – SM

(Visited 246 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button