Ekonomi

PT Resources catat kenaikan hasil 32 peratus suku ketiga

KUALA LUMPUR 28 Mac – PT Resources Holdings Berhad (PT Resources), pemproses dan peniaga produk makanan laut sejuk beku, dan peniaga produk makanan lain, mengumumkan pendapatan Syarikat meningkat 32 peratus kepada RM115.4 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Januari 2023 (3Q FY2023) berbanding RM87.4 juta pada suku yang sama tahun kewangan sebelumnya (3Q FY2022).

Bagi suku yang dikaji, keuntungan kasar (GP) syarikat meningkat 58.1 peratus kepada RM15.3 juta berbanding RM9.6 juta pada 3Q FY2022 manakala keuntungan sebelum cukai (PBT) menurun sebanyak 55.4 peratus kepada RM2.1 juta.

Manakala perniagaan pemprosesan dan perdagangan produk makanan laut sejuk beku menyumbang pendapatan sebanyak RM108.8 juta dalam 3Q FY2023 manakala perdagangan produk lain perniagaan menyumbang pendapatan sebanyak RM6.6 juta. Mengikut pasaran geografi, Malaysia menyumbang pendapatan sebanyak RM57.7 juta manakala pasaran luar negara terdiri daripada China dan Arab Saudi menyumbang pendapatan sebanyak RM57.7 juta.

Pengarah Urusan PT Resources, Heng Chang Hooi berkata, dalam jangka panjang, syarikat optimis untuk bertumbuh tetapi dalam jangka pendek, terdapat cabaran yang timbul daripada tekanan kos yang telah menjejaskan operasi secara langsung dan tidak langsung manakala turun naik mata wang asing juga telah memberi kesan kepada keuntungan.

“Kami komited untuk mengembangkan pasaran kami di dalam negara melalui pengukuhan akses kepada rakan kongsi saluran dan membuka lebih banyak cawangan MO FoodmartTM kami di Malaysia manakala di pasaran luar negara, kami merancang untuk meningkatkan bekalan ke China.” katanya di sini hari ini.

Beliau menambah, prestasi kewangan syarikat bagi suku ketiga itu disebabkan oleh peningkatan permintaan domestik dengan pembukaan semula ekonomi manakala peningkatan permintaan di luar negara adalah disebabkan oleh peningkatan pesanan daripada pelanggan sedia ada di China dengan jangkaan permintaan yang lebih tinggi untuk makanan laut sejuk beku berikutan kelonggaran peraturan kuarantin COVID-19

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Januari 2023 (9M FY2023), pendapatan Syarikat meningkat 29.3 kepada RM356.1 juta berbanding RM275.4 juta pada 9M FY2022.

Untung kasar meningkat 35.6 peratus kepada RM42.3 juta pada 9M FY2023 berbanding RM31.2 juta dalam tempoh yang sama tahun kewangan sebelumnya manakala PBT meningkat 7.5 peratus kepada RM18.3 juta berbanding RM17.0 juta.

Bagi sembilan bulan FY2023, peningkatan 84 peratus dalam perbelanjaan pentadbiran kepada RM23.9 juta disebabkan oleh perbelanjaan penyenaraian sebanyak RM4.0 juta, kerugian yang tidak direalisasikan sebanyak RM4.6 juta daripada turun naik pertukaran asing dalam 3Q FY2023 dan, peningkatan kos kakitangan sebanyak RM1.3 juta.

(Visited 179 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button