Hiburan

Peminat terharu, Farid Kamil dan Diana Danielle bakal rujuk semula

Pasangan pelakon sensasi, Farid Kamil dan Diana Danielle mengesahkan mereka bakal rujuk semula sebagai pasangan suami isteri sekali gus menjawab spekulasi tersebar ketika ini.

Menurut Diana atau Diana Danielle Danny Beeson, 32, dia dan Farid akan ke Mahkamah Syariah untuk menyelesaikan urusan rujuk semula itu secepat mungkin.

“Kami akan ke mahkamah secepat mungkin tetapi semua itu perlu dilakukan mengikut proses dan tidaklah tergesa-gesa kerana masih dalam tempoh idah.

“Kami juga masih ada masa. Bukan saya tidak mahu umum rujuk tapi perkara ini membabitkan proses mahkamah,” katanya.

Diana dan Farid ditemui ketika Karnival Mega Suria yang berlangsung di Padang Timur, Majlis Badaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Mengenai perancangan untuk rujuk semula itu, kata Diana, mereka kini masih dalam fasa untuk memperbaiki diri serta mencari jalan terbaik untuk rumah tangga mereka pada masa akan datang.

“Kami juga tidak pernah berhenti berdoa untuk hubungan ini. Kami juga tidak tahu ini pengakhirannya kerana semua sudah ketentuan Allah S.W.T

“Sekarang ini kami masih dalam fasa mencari jalan terbaik untuk masa depan. Kami mahu membina kembali yang pernah ada sebelum ini.

“Tetapi saya tidak mahu terlalu bercakap mengenai perkara ini kerana perlu ada privasi dalam hubungan kami,” katanya.

Ditanya harapannya pula, kata Diana, pastinya dia mengharapkan hubungan mereka akan terus berkekalan demi kebaikan dua cahaya mata mereka.

Kata Diana lagi, dia sangat gembira kerana Farid akan terus menjadi bapa terbaik buat anak-anak mereka.

“Saya membesar tanpa kasih sayang bapa. Justeru, saya tidak mahu anak-anak lalui perkara sama.

“Apa yang penting anak-anak mendapat kasih sayang seorang bapa. Itu adalah hadiah terbaik buat saya,” katanya.

Sementara itu, Farid atau Farid Kamil Zahri, 42, turut hadir menemani isterinya pada petang itu namun tidak dapat bercakap kerana masalah kehilangan suara dihidapi sejak beberapa hari lalu.

Namun, Farid sempat berbisik ke telinga Diana memberitahu mereka tidak berhenti berdoa agar bertemu penyelesaian terbaik berikutan kemelut rumah tangga sebelum ini.

Untuk rekod, Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012.

Bagaimanapun, mereka mengejutkan ramai apabila sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Selangor pada 10 Ogos lalu.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8.

(Visited 489 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button