Politik

“Bola di kaki Muhyiddin” – Ibrahim Ali

Letak jawatan tanpa perlu didesak

PRESIDEN Putra, Datuk Dr. Ibrahim Ali dan ahli-ahli parti senada dan bersetuju dengan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah, tiada keperluan darurat dan meminta semua pihak terutama pimpinan politik dan Ahli-Ahli Parlimen berganding bahu menangani Covid-19.

Ibrahim berkata, ia juga adalah bagi memastikan Bajet 2021 dipermudahkan laluan di Dewan Rakyat kerana keperluan perbelanjaan terutama dalam menghadapi Covid-19.

“Titah Tuanku Agong ini amat jelas dan semua pihak mesti akur demi kelangsungan negara dalam keadaan yang amat rumit ini.

“Ia juga menuntut semua pihak menghayati Ketaatan kepada Kedaulatan Raja-Raja Melayu sebagai payung negara dan Prinsip-Prinsip Rukun Negara,” katanya kepada SUARA MERDEKA hari ini.

Beliau berkata, untuk mencari jalan mudah apabila timbul kekusutan, itu sebenarnya mudah, begitu juga mencari jalan susah walaupun mudah.

“Jika seseorang pemimpin itu benar-benar beriman dan benar-benar menghayati Prinsip Demokrasi, pasti ia mudah.

“Tengok pemimpin-pemimpin Jepun dan negara Barat… mudah sahaja mereka berundur jika  ada yang  berhadapan dengan musibah.

“Menteri letak jawatan tanpa didesak. Begitulah mulianya pemimpin yang bukan beragama Islam di negara luar, mengambil tanggungjawab terhadap tugasnya,” kata Ibrahim.

Beliau juga berkata, terdapat pemimpin di negara ini yang bersikap sentiasa menyalahkan orang lain dan tampil dengan sikap seribu satu daleh.

“Sekarang bola di kaki Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Beliau pasti tahu kekuatan sokongan kepadanya.

“Demi negara dan seorang Islam yang istiqamah, berilmu dan memahami prinsip-prinsip demokrasi berparlimen, buatlah keputusan sebagai seorang yang bersifat negarawan yang mulia.

“Apa yang terbaik untuk mengelak ketegangan demi kestabilan politik negara. Sudah tercatit dalam sejarah Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah Perdana Menteri ke-8 walaupun tidak lama,” kata Ibrahim.

Beliau menambah, Muhyiddin buatlah keputusan yang bijak sebagai seorang pahlawan yang diingati dalam lipatan sejarah Malaysia.

“Jangan termakan hasutan mereka yang sekadar mahu berpaut untuk diri masing masing. Buatlah keputusan yang terbaik untuk rakyat dan negara,” kata beliau.

Ibrahim juga berkata, parti Putra Menjunjung Kaseh dan Merafak Sembah kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu yang telah membuat ketetapan tidak perlu diisytihar darurat mengikut permohonan yang dibuat oleh Muhyiddin dan Kabinet menerusi mesyuarat yang diadakan.

Parti Putra berkeyakinan penuh Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu menerusi mesyuarat Majlis Raja-Raja petang tadi, telah meneliti secara terperinci dan mengambil maklum permintaan Perdana Menteri dan status terkini dalam negara terutama ancaman wabak Covid-19, kata Ibrahim. – SM

(Visited 223 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button