Nasional

Slot kuarantin untuk warga asing dibuka untuk tempahan

PUTRAJAYA: Majikan kini boleh menempah slot kuarantin untuk pekerja asing mereka yang dijangka memasuki negara mulai bulan ini, kata menteri sumber manusia M Saravanan.

Beliau berkata tempahan boleh dibuat selepas pekerja asing lulus pemeriksaan kesihatan dan diberikan visa dengan rujukan (VDR) melalui sistem pengurusan berpusat pekerja asing.

VDR dikeluarkan oleh pejabat perwakilan Malaysia di luar negara kepada bukan warganegara bagi membolehkannya memasuki Malaysia selepas visa diluluskan oleh jabatan imigresen.

Saravanan berkata pusat kuarantin yang ada terletak di sekitar Lembah Klang, seperti yang disenaraikan dan diluluskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

“Anggaran kos kuarantin adalah antara RM2,000 dan RM3,000. Ini termasuk penginapan, makanan dan minuman (tiga kali sehari), pengangkutan ke pusat kuarantin dan saringan Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Setakat semalam, kementerian telah menerima 171,133 permohonan daripada pekerja asing sejak 15 Feb.

Daripada jumlah ini, 118,967 adalah untuk pembuatan, diikuti oleh sektor perkhidmatan (21,040), perladangan (15,787), pembinaan (12,252), dan pertanian (3,087).

Pada mesyuarat Kabinet pada 10 Dis, telah dipersetujui bahawa pengambilan pekerja asing akan dibuka kepada pelbagai sektor — pertanian, pembuatan, perkhidmatan, perlombongan dan kuari, pembinaan dan pembantu rumah.

(Visited 275 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button