Nasionalpilihan

Kerajaan negeri hidupkan semula adat Perpatih

Kerajaan negeri akan membuat kajian menyeluruh untuk menghidupkan semula adat Perpatih bagi diwarisi generasi akan datang dan pengamal adat itu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, adat Perpatih hilang dari bumi Melaka selepas Enakmen Undang Naning dipadamkan daripada sejarah Perlembagan pada 1993.

Menurutnya, Naning adalah warisan budaya daripada Undang yang ada di Negeri Sembilan.

Katanya, selepas merdeka Undang Naning telah diberikan tugas untuk menguruskan adat istiadat Perpatih di kawasan atas Melaka.

“Ramai tidak mengetahui bahawa Melaka terbahagi kepada dua budaya iaitu adat Perpatih di sebelah darat manakala di sebelah pantai adalah adat Termenggong.

“Orang sebelah darat mengamalkan adat Perpatih dari Asahan hingga ke Lubok Cina.

“Di sini adat budaya dan peradabannya mengikut adat istiadat

Perpatih…cakapnya cakap Negeri Sembilan.

“Kalau pergi ke sana (sebelah darat) tak ada perkataan ‘hawau’ tetapi peradaban sebelah pantai kerap menggunakan perkataan ‘hawau’ tetapi adalah malang adat perpatih dulu dikawal selia oleh seorang undang Naning,” ujarnya.

Beliau berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Puisi Malaysia Peringkat Kebangsaan Ke-3 bertemakan ‘Puisi Insani, Melestari Malaysia Madani’ di Auditorium Tun Sri Lanang, Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka di sini malam tadi.

Hadir sama Penaung Pemuisi, Tan Sri Dr. Hamad Kama Piah Che Othman’, Penasihat yang juga Ahli Dewan Negara Senator Prof. Datuk Seri Awang Sariyan dan Presiden Pemuisi, Datuk Dr. Radzuan Ibrahim.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Ab. Rauf berkata, beliau membuat cadangan baharu untuk mewujudkan semula Rumah Adat Perpatih Melaka yang terletak di Alor Gajah.

Menurutnya, beliau telah meminta Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman untuk menilai dan menghidupkan semula balai adat itu termasuk di sepanjang koridor adat Perpatih.

Beliau berkata, adat perpatih yang pernah wujud di negeri ini sejak sekian lamanya mempunyai banyak seninya dari segi keluarga sehingga pembentukan adatnya bersenikan Islam. – SM

(Visited 94 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button