Politik

DAP bantah tindakan terhadap Hannah Yeoh, Malaysiakini

DAP membantah tindakan yang diambil terhadap Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh dan Malaysiakini serta  ketua pengarangnya, Steven Gan.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, dua tindakan itu membangkitkan persoalan membimbangkan mengenai hak asasi manusia iaitu hak mengeluarkan pendapat dan ruang demokrasi yang semakin mengecil di bawah Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Dalam kes Hannah, menurut Guan Eng, sebagai bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan seorang ahli Parlimen, beliau mempunyai segala hak untuk mengeluarkan pandangan secara umum.

Hannah juga berhak mengeluarkan pandangan kerana beliau telah sebelum ini melakukan kerja berkenaan isu ini di bawah Kerajaan Pakatan Harapan.

“Sebagai seorang rakyat Malaysia, Perlembagaan Persekutuan menjamin hak kebebasan bersuaranya. Siasatan terhadapnya adalah percubaan untuk membungkam dan menakutkan beliau daripada bersuara tentang isu ini atau mengkritik kerajaan Perikatan Nasional.

“DAP mengecam tindakan seperti ini terhadap Hannah dan menggesa polis untuk menghentikan siasatan ini. Kami berdiri teguh menyokong dan bersolidariti dengan Hanah Yeoh,” kata Guan Eng dalam satu kenyataan yang disiarkan dalam Roketkini.

Hannah sebelum ini telah diminta untuk hadir ke Bukit Aman untuk disoal siasat mengenai ciapan di Twitternya.

Dalam tweet berkenaan; Hannah mempersoalkan status Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur selepas Ahli Parlimen Pas dilantik ke jawatan timbalan menteri di KPWKM.

“What will happen to our national road map to fight child marriage with the appointment of MP from PAS as deputy minister of KPWKM?” ciap Hannah.

Guan Eng turut membantah tindakan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun untuk membawa prosiding menghina Mahkamah terhadap Malaysiakini dan Gan disebabkan komen pembaca di dalam sebuah rencana bertarikh 9 Jun yang bertajuk “CJ orders all courts to be fully operational from July 1.”

“Walaupun ada di antara komen-komen yang dibuat adalah bersifat membenci dan tidak patut dimaafkan, Peguam Negara tidak wajar cuba untuk menghukum Malaysiakini atau Steven Gan disebabkan komen-komen tersebut.

“Tindakan, sekiranya ada, patut diambil terhadap mereka yang membuat ulasan, dan bukannya Malaysiakini,” kata Guan Eng.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata, tindakan Peguam Negara seperti menyalahkan kenderaan dalam sebuah kemalangan walaupun pemandu yang bertanggungjawab.

Justeru DAP mendesak Peguam Negara supaya menarik balik prosiding terhadap Malaysiakini dan Steven Gan bagi mendukung kebebasan media.-SM

(Visited 186 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button