Haiwan

Ular sawa belit mati empat kucing berjaya ditangkap

ALOR GAJAH 26 Januari – Empat ekor kucing peliharaan baka tempatan mati dibelit seekor ular sawa sepanjang empat meter dan seberat 20 kilogram di sebuah rumah di Kampung Ulu Seraja, Parit Melaka, Durian Tunggal, Melaka, hari ini.

Hasmi Hasan, 56, berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 6.50 pagi itu disedari anaknya, Nor Shuhaida Aqila, 21, apabila terlihat ada seekor ular sawa berada dalam satu daripada tiga sangkar kucing milik mereka.

“Ular sawa itu masih berada di dalam sangkar yang ketika itu cuba membelit dua lagi kucing jantan tetapi mujurlah anggota APM cepat sampai dan berjaya menangkap haiwan itu.

“Saya sangat sedih kehilangan empat daripada 14 kucing yang saya pelihara. Saya sendiri terkejut macam mana haiwan itu boleh masuk dalam sangkar walaupun ada lubang kecil,” ujarnya di sini hari ini.

Hasmi berkata, ular berkenaan masih berlingkar di dalam sangkar besi belum sempat menelan empat kucing yang mati dibelit.

Katanya, dia yang terkejut melihat ular itu telah menghubungi Angkatan Pertahanan Awam (APM) memaklumkan mengenai kejadian tersebut.

Jelasnya, kira-kira pukul 3 pagi dia dikejutkan isterinya, Ruzita Abu Bakar, 53, apabila terdengar bunyi bising di sangkar kucing miliknya.

Jelasnya, dia tidak ambil peduli kerana menyangkakan ada kucing lain cuba mengganggu kucingnya dan tidak menyangka apabila mendapati seekor ular sawa berada dalam sangkar kucing miliknya.

Sementara itu, Pegawai Operasi, Bencana dan Logistik APM Alor Gajah, Leftenan (PA) Abdul Hadi Baharom berkata, pihaknya menerima panggilan jam 6.50 pagi sebelum bergegas ke tempat kejadian dengan empat anggota.

 

Katanya, setibanya di tempat kejadian Sarjan Mohamad Faizal Ahmad pada pukul 7.25 pagi dan lima minit selepas itu ular seberat 20 kilogram itu berjaya ditangkap.

(Visited 277 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button