BeritaNasionalPendidikan

UniMAP, UUM kerjasama bangunkan Sistem Elektronik jaga padang golf

SEKUMPULAN penyelidik Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) bakal membangunkan sistem elektronik dan keberkesanan bagi mengurangkan kerosakan di padang golf.

Penyelidikan sistem berkenaan yang diketuai Prof Ir Ts Dr R Badlishah Ahmad dijangka dapat direalisasikan menerusi sumbangan geran penyelidikan yang disampaikan oleh syarikat swasta, IR-Saf Holiday dan Express Sdn Bhd sempena Mesyuarat Agung Tahunan Kelab Golf Putra (KGP) di Sungai Batu Pahat, Kangar, Perlis.

TUANKU SYED FAIZUDDIN PUTRA JAMALULLAIL (empat dari kanan barisan hadapan) semasa berangkat ke majlis AGM KGP yang turut diadakan penyerahan geran penyelidikan padang golf.

Badlishah berkata, permainan golf kini tidak lagi dimonopoli golongan elit dan diraja malah menjadi sukan yang diminati semua lapisan masyarakat sama ada dari peringkat sekolah rendah hingga pesara.

Katanya, apabila menjadi tumpuan ramai padang golf memerlukan perhatian dan penjagaan rapi yang kerap bagi memastikan keadaan padang baik dan sesuai untuk sebarang perlawanan atau hobi.

“Justeru sistem ini akan dipasang pada setiap kawasan ‘green’ dan beberapa lubang yang menjadi kawasan penting bagi mengelakkan ia dirosakkan oleh haiwan liar seperti khinzir yang mencari makanan dengan merosakkan lubang golf,” katanya dalam satu kenyataan di sini selepas AGM berkenaan, hari ini.

Berkenan sama Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Tuanku Presiden KGP.

Hadir sama wakil IR-Saf Holiday & Express Sdn Bhd, Zaidi Mat.

Badlishah berkata, kerosakan padang golf boleh menyebabkan kos pembaikpulih kelab akan menjadi tinggi sekaligus menyebabkan pemain golf tidak berminat untuk bermain di padang golf yang rosak dan tidak dijaga.

“Sebagai salah seorang ahli dan Naib Pengerusi 3 KGP, saya berasa turut bertanggungjawab untuk sama-sama mengatasi masalah berkenaan sekaligus meningkatkan jumlah pengunjung yang menggunakan padang golf ini sebagai aktiviti rekreasi mereka.

“Pada masa ini keupayaan sistem elektronik yang dibangunkan mempunyai had berkesan mengikut jarak alat tersebut dan kemungkinan besar apabila sistem yang dikaji berhasil serta efektif maka sistem tersebut akan dipasang pada setiap kawasan ‘green’ padang golf ini supaya kerosakan akibat haiwan liar dapat dielakkan sepenuhnya,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UniMAP Prof Ts Dr Zaliman Sauli berkata UniMAP mengalu-alukan projek kerjasama universiti dengan industri yang dapat memberi manfaat kepada komuniti khususnya di negeri ini.

“UniMAP kini sedang berada dilandasan yang baik selari agenda UniMAP for Society dengan memanfaatkan kepakaran dan ilmu yang dimiliki dengan berkongsi kepada komuniti dan menjadi penyelesai masalah komuniti bagi jangka masa yang panjang,” katanya.

KGP merupakan lapangan golf yang terkenal di negeri Perlis dan mempunyai pemandangan bukit bukau dan kolam yang indah terletak di Sungai Batu Pahat. – SM

(Visited 405 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button