Sukan

Pastam sasar layak ke Champion Cup

Melaka yang menjuarai Kejohanan Sepak Takraw Piala Emas Khir Johari edisi ke-57 selepas 39 tahun di Kedah baru-baru ini menyasarkan untuk menjuarai Liga Sepak Takraw (STL) 2024 Divisyen Satu, Ogos ini.

Yang Dipertua Persatuan Sepak Takraw Melaka (Pastam), Datuk Akramuddin Abdul Aziz berkata, kemenangan bersejarah buat Melaka menjuarai kejohanan tertua itu selepas menewaskan Pulau Pinang 2-1 dalam perlawanan akhir menyakinkan peluang pasukan itu menjuarai Divisyen satu seterusnya layak ke STL Champions Cup pada November.

Menurutnya, enam pemain sepak takraw kebangsaan yang diikat oleh PASTAM menerusi kontrak setahun akan menjadi sandaran utama buat pasukan itu mengharungi cabaran STL Divisyen Satu, Ogos nanti.

“Tiada ungkapan yang mampu saya luahkan atas kejayaan Melaka menjuarai Piala Emas Khir Johari. Kita kehausan gelaran selama 39 tahun dan berjaya diterjemahkan dengan gelaran juara.

“Jutaan terima kasih kepada Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam, Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh dan penaja yang memberi dorongan dan sokongan hingga kita berjaya.

“Kemenangan ini juga menjadi suntikan semangat kepada pemain-pemain muda di negeri ini untuk mereka kita pilih mewakili Melaka dan pemain sedia ada menjadi mentor mereka,” ujarnya kepada pemberita selepas perarakan skuad juara Piala Emas Khir Johari di hadapan Menara Taming Sari malam tadi.

Terdahulu pemain Melaka diarak dari hadapan Muzium Samudera membawa Piala Emas Khir Johari dalam suasana penuh gilang-gemilang hingga
di hadapan Menara Taming Sari.

Mereka disambut Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh serta dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.

Mengulas lanjut Akramuddin berkata, selain STL sasaran turut diletakan untuk merampas Kejohanan Sepak Takraw Piala Tun Ali yang dimenangi Perak, November tahun lalu.

Menurutnya, majlis perarakan yang diadakan itu akan dapat menyuntik semangat kepada pemain muda di negeri ini untuk mewakili Melaka di masa akan datang.

Sehubungan itu katanya, Pastam akan bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan negeri bagi menganjurkan klinik sepak takraw di setiap daerah di negeri ini bersama kesemua pemain Melaka yang menjuarai Piala Emas Khir Johari.

Sementara itu Ketua Pasukan yang juga tekong kebangsaan, Mohammad Syahir Mohd. Rosdi menyifatkan perarakan itu adalah pertama kali dirasainya sejak berkecimpung dalam sukan tersebut.

“Ini kali pertama saya diraikan sebesar ini walaupun pernah menang banyak kejohanan tetapi di Melaka saya bersama pemain lain diraikan dan diarak sebegini meriah dan merasa kami dihargai,” ujarnya.

Katanya, dia amat berharap pasukan negeri lain mencontohi Melaka ia sekurang-kurang dapat menghargai pemain yang berjuang untuk kemenangan pasukan masing-masing. – SM

(Visited 33 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button