Nasionalpilihan

UPSI bina monumen sempena peristiwa pertempuran ‘Battle Of Slim’

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi Muzium Pendidikan Nasional membina monumen berupa karya arca dengan mengangkat tema peristiwa pertempuran “Battle of Slim” berhampiran jalan besar jambatan Slim Village, Sungai Bernama yang juga lokasi pertempuran bersejarah itu di sini hari ini.

Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, monumen yang diberi nama ‘Semangat Merdeka’ itu merupakan inisiatif pihaknya untuk mengabadikan sejarah penting peristiwa pertempuran yang tercetus di Ladang Estet Cluney melibatkan antara 3200 orang tentera British dan 100 orang tentera Jepun selama tujuh jam latar masa sekitar 7 Januari 1942.

“Pertempuran Battle of Slim amat terkenal kerana serangan penuh disasarkan sejumlah kecil tentera Jepun yang berjalan dan menggunakan kereta kebal terhadap tentera British secara mengejut.

“Pertempuran ini telah mengorbankan lebih 1000 nyawa dan sebanyak 23 laras meriam berat, 6 laras meriam anti pesawat, 50 kereta perisai dan 550 lori pengangkutan tentera musnah serta ditawan tentera Jepun,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian monumen ‘Semangat Merdeka’ di sini sempena 10 tahun penubuhan Muzium Pendidikan Nasional UPSI serta sambutan Hari Malaysia.

Turut hadir ialah Pengarah Muzium Pendidikan Nasional UPSI, Profesor Dr. Tajul Shuhaizam Said.

Untuk rekod, jambatan yang dibina sejak zaman pra kemerdekaan tersebut masih utuh struktur binaannya, meninggalkan beberapa kesan tembakan peluru serta bedilan meriam ketika pertempuran berlangsung.

Kesan rongga-rongga bedilan peluru dan meriam masih boleh dilihat dengan mata kasar pengunjung yang melalui kawasan tersebut.

Dr Md. Amin berkata, sebagai sebuah universiti yang menerajui pendidikan negara, adalah penting untuk pihak universiti memupuk kesedaran patriotisme dengan mengajak orang ramai menghayati peristiwa pertempuran bersejarah ini.

“Selain kaya dengan keindahan alam dan lanskap yang indah, dengan adanya monumen arca ini memberi tarikan terbaru di daerah ini,” katanya.

Sementara itu, Dr Tajul Shuhaizam berkata, monumen berbentuk tiga dimensi ketinggian 12×10 kaki tersebut diperbuat daripada besi dan campuran simen mortar dihasilkan oleh beliau sendiri bersama dua orang karyawan UPSI iaitu Muhammad Safuan Sharif dan Mohammad Zul Ikman Mohammad Zuraini.

“Kita menerima dengan sumbangan dana sebanyak RM5,000 oleh Pusat Alumni UPSI dengan kerjasama Majlis Daerah Tanjong Malim, Malaya Historical Group Society dan Perak Heritage Society.

“Monumen ‘Semangat Merdeka’ mengangkat tema terjemahan visual teks peribahasa Melayu iaitu ‘Melentur buluh biarlah daripada rebungnya’ dengan menjadikan estetika pucuk rebung sendiri sambil memberi penyataan karya secara sindiran metafora kepada generasi muda bahawa pentingnya menyelami pengajaran dan pendidikan melalui peristiwa bersejarah,” jelas beliau.

Monumen ‘Semangat Merdeka’ merupakan salah sebuah daripada 24 buah laluan warisan bersejarah UPSI.

Menggunakan pendekatan konsep muzium terbuka, laluan ini meliputi ruang lingkup perjalanan perkembangan pendidikan tanahair dari era pra dan pasca kemerdekaan terletak berhampiran Kampus Sultan Abdul Jalil, Tanjung Malim, Perak. -SM

(Visited 722 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button