Ekonomi

Semakan semula defisit 2021 dapat dicapai – PM

SEMAKAN semula defisit bagi tahun 2021 iaitu 6.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan dapat dicapai.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pencapaian itu berdasarkan prestasi sehingga akhir
November di mana kutipan hasil mencatatkan peningkatan 8.9 peratus kepada RM210.4 bilion. Manakala jumlah perbelanjaan meningkat 4.9 peratus kepada RM307.6 bilion.

Perkara tersebut dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Fisikal (FPC) yang dipengerusikan oleh beliau hari ini.

“Jawatankuasa berpandangan bahawa semakan semula defisit bagi tahun 2021 iaitu 6.5% daripada KDNK akan dapat dicapai, dan Kementerian Kewangan akan terus memantau prestasi dan perkembangan ini,” katanya.

Turut hadir Menteri Kewangan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Ketua Setiausaha Negara,
Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi dan Gabenor Bank Negara Malaysia.

Menurut Ismail Sabri, berdasarkan prospek pemulihan ekonomi yang lebih baik bagi tahun 2022 serta langkah-langkah Bajet 2022 defisit fiskal disasarkan berkurang kepada 6 peratus daripada KDNK.

Perdana Menteri berkata, inisiatif pembaharuan institusi terutamanya pelaksanaan Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA), Strategi Hasil Jangka Sederhana (MTRS) dan Kajian Perbelanjaan Awam (PER) merupakan langkah dasar utama dalam menyokong usaha tersebut.

Kerajaan juga kekal komited terhadap sasaran defisit seperti yang digariskan bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) iaitu 3.5% berbanding KDNK pada 2025.

“Melangkah ke hadapan, agenda pemulihan yang mampan akan diselaraskan dengan inisiatif-inisiatif di bawah RMKe-12.

“Kesemua usaha ini bertumpu kepada pembangunan teknologi tinggi, inovasi dan kemampanan dalam sektor berpotensi pertumbuhan tinggi yang dirangka bagi memangkin ekonomi inklusif dan berdaya saing untuk manfaat seluruh Keluarga Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Ismail Sabri menegaskan, secara keseluruhannya, usaha membantu seluruh Keluarga Malaysia akan diteruskan di samping memastikan kemampanan kedudukan kewangan Kerajaan.-SM

(Visited 155 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button