Nasional

Konsert selamatkan Harimau Malaya

SPESIS Harimau Malaya yang menjadi haiwan ikonik Malaysia dan diberi penghormatan pada Jata Negara dan menjadi gelaran bagi pasukan bola sepak kebangsaan semakin hari semakin pupus.

Hasil cerapan yang dijalankan melalui First National Tiger Survey di habitat harimau bermula dari tahun 2016 hingga 2018 menunjukkan bilangan Harimau Malaya yang direkodkan kurang dari 200 ekor.

Data tersebut menunjukkan populasi Harimau Malaya berada pada tahap yang amat membimbangkan.

Harimau Malaya atau nama saintifiknya Panthera Tigris Jacksoni merupakan subspesies harimau belang yang hanya terdapat di Semenanjung Malaysia. Di seluruh dunia terdapat sembilan subspesies harimau belang dan tiga subspesies telah pupus.

Foto: https://harimau.my/blog/

Justeru bagi menyelamatkan Harimau Malaya daripada terus lenyap WWF-Malaysia bersama Maybank akan mengadakan konsert maya bertema ‘Roar for Life 2020’ yang akan berlangsung pada pukul 3 petang Ahad ini.

Konsert tersebut menandakan kemuncak kempen selama sebulan bertema ‘Save the Malayan tiger’. Kempen tersebut merupakan sebahagian daripada sambutan Hari Harimau Sedunia yang dilancarkan pada 29 Julai lalu.

Konsert yang akan dihoskan oleh penyampai televisyen tempatan Azura Zainal dan pelawak Douglas Lim itu akan menampilkan artis-artis Malaysia.

 

Antaranya Yuna, Datuk Zainalabidin, Reshmonu, Alena Murang, kumpulan Kyoto Protocol, Kumpulan Dikir Barat Arjunasukma dan Juara Tarian Piala Dunia 2019 SK Stella Maris Dance Trio dari Sabah.

“Pengurangan bilangan Harimau Malaya adalah ancaman ekosistem utama yang perlu ditangani dengan segera. Melalui usahasama Maybank dan WWF-Malaysia, kami tetap komited untuk memperjuangkan usaha pemuliharaan harimau sementara kami melalui cabaran yang timbul dari pandemik Covid-19.

“Konsert yang disiarkan pada malam Merdeka berfungsi sebagai peluang yang sangat baik bagi semua orang untuk dihiburkan oleh artis terkemuka serta mempelajari lebih lanjut bagaimana mereka dapat berperanan secara aktif dalam menyelamatkan Harimau Malaya,” ” kata CEO Maybank Foundation, Shahril Azuar Jimin.

Dianggarkan dalam tempoh lima hingga ke sepuluh tahun Malaysia akan kehilangan haiwan ikoniknya buat selama-lamanya sekiranya tiada tindakan yang drastik diambil bagi mengatasi masalah penurunan populasi Harimau Malaya

Menurut Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), sepanjang tahun lalu sebanyak 24 operasi dijalankan oleh pihak berkuasa bagi membenteras pemburu Harimau Malaya. Dalam operasi itu sebanyak 1,375 jerat dawai dimusnahkan dan 107 penyenayah ditangkap.

Foto: https://harimau.my/blog/

Tahun ini dari 1 Januari hingga 31 Julai lalu sebanyak 11 operasi dijalankan yang menyaksikan 482 jerat dawai dimusnahkan dan 74 pemburu Harimau Malaya ditangkap.

“Ikrar untuk menyelamatkan harimau Malaya adalah misi yang berterusan dan kami ingin ramai, atau lebih tepatnya setiap rakyat Malaysia menandatangani ikrar itu. Kami berharap melalui konsert maya ini kami mendapat sambutan lebih banyak lagi.

“Tiada had; lebih banyak kita berkongsi, lebih banyak sambutan yang akan kita dapat. Semakin besar suaranya, semakin kuat tekad untuk menyelamatkan Harimau, dan kami berharap ini menjadi keutamaan dalam agenda nasional,” kata Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif WWF-Malaysia.Sophia Lim,

Konsert maya Roar for Life oleh WWF-Malaysia dan Maybank boleh ditonton di Facebook.com/wwfmy – SM

(Visited 570 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button