Berita

Saya buka meja lipat, bawa teropong – Sanusi

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tetap dengan pendirian akan hadir ke Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA’23) yang dijadualkan berlangsung Mei depan.

Katanya, walaupun tidak dijemput dia akan tetap hadir sebagai seorang pengunjung dan membawa teropong.

“Saya akan bawa teropong pergi duduk di tepi pagar airport (lapangan terbang). Saya ada kata kat pegawai saya kalau kita tak dijemput kita beli meja lipat seorang sebiji, teropong seorang satu, kita dok tepi pagar kita tengok kapal navy, kapal terbang.

“Lagipun tepi pagar itu pun, ada orang jual laksa, boleh makan-makan, sebagai pengunjung takkan lah depa nak halau,” katanya ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di Alor Star pada Rabu.

BACA JUGAPembahagian kerusi DUN di enam negeri untuk PRN selesai – Muhammad Sanusi

Menurut Muhammad Sanusi, ini kerana beberapa persediaan sudah dilakukan oleh kerajaan negeri termasuk penginapan, mobiliti, pengangkutan dan pihak keselamatan.

“Saya ni Pengerusi Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan saya Menteri Besar, banyak lagi jawatan saya yang berkaitan, jadi kalau saya tak dijemput saya tetap akan hadir.

“Pegawai saya dah tempah hotel berbulan-bulan lalu, kenderaan, motosikal polis semua dah ada,” katanya.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, beliau difahamkan akan dijemput ke acara berkenaan berdasarkan jawapan daripada Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari di Dewan Negara sebelum ini.

“Bagaimanapun saya masih berpegang kepada keputusan kabinet menghalang saya menghadiri LIMA,23 sehingga terdapat keputusan membatalkan arahan itu daripada Kabinet.

“Apabila saya menyuarakan mengenai halangan ataupun larangan yang dikenakan kepada Menteri Besar Kedah, maka kementerian-kementerian itu mengambil perhatian untuk mengabaikan. Tapi saya rasa satu keputusan kabinet hanya boleh diatasi dengan satu keputusan kabinet yang lain, mesti membatalkan keputusan sebelum itulah,” katanya

Pada Jumaat lalu, Muhammad Sanusi menzahirkan komitmen untuk memastikan kunjungan semua pihak ke Langkawi sempena penganjuran LIMA’23, Mei depan sebagai kunjungan terindah sepanjang hayat.

Katanya, pihaknya akan memastikan semua agensi Kerajaan Negeri Kedah memberikan komitmen 100 peratus demi kelancaran dan pelaksanaan semua acara pada LIMA’23 berlangsung dengan sempurna. – Sinar/SM

(Visited 395 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button