Nasional

Vaksin: Pengumuman PM betulkan maklumat salah Kit Siang – KJ

PENGUMUMAN Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin bahawa kerajaan telah menandatangani perjanjian dengan syarikat farmaseutikal AstraZeneca bagi memperoleh 6.4 juta dos lagi vaksin Covid-19 sekaligus membetulkan maklumat salah yang dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata, kesemua perjanjian yang telah ditandatangani berkaitan pembelian vaksin sebelum ini akan memberikan Malaysia akses vaksin COVID-19 bagi 83 peratus populasi negara atau 26.5 juta orang dengan kos sebanyak RM2.05 bilion.

“Dengan pengumuman ini, saya harap ia dapat memperbetulkan maklumat yang disebarkan oleh
Lim Kit Siang bahawa kami membelanjakan RM3 bilion hanya untuk perjanjian Pfizer sahaja yang merangkumi 20 peratus daripada populasi kita,” ciap Khairy Jamaluddin di Twitternya.

Kit Siang dalam kenyataan medianya semalam menuntut penjelasan mengapa Malaysia perlu membayar RM3 bilion untuk mendapatkan imunisasi bagi 6.4 juta rakyat Malaysia.

Ahli Parlimen DAP itu berkata, Menteri Belgium mendedahkan bahawa harga vaksin tersebut 20 kali ganda lebih murah dan dia turut mendesak agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk melakukan siasatan.

“Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, khususnya, harus menjelaskan mengapa Malaysia perlu membayar RM3 bilion untuk menyediakan vaksin kepada 6.4 juta rakyat Malaysia sedangkan Menteri Belgium mendedahkan bahawa harga vaksin tersebut sebenarnya 20 kali ganda lebih murah.

“Adakah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia telah bertindak berdasarkan maklumat yang didedahkan Menteri Belgium ini untuk memastikan bahawa tidak terdapat unsur rasuah atau penyalahgunaan kuasa dalam usaha memerangi Covid-19?” kata Kit Siang.

Muhyiddin hari ini mengumumkan kerajaan telah menandatangani perjanjian dengan syarikat farmaseutikal AstraZeneca bagi memperoleh 6.4 juta dos vaksin Covid-19, iaitu tambahan 10 peratus lagi kepada bekalan vaksin yang bakal diterima negara.

Beliau berkata ini bermakna kerajaan kini memperoleh keseluruhan jaminan bekalan sebanyak 40 peratus, termasuk menerusi dua perjanjian yang dimeterai sebelum ini bersama fasiliti COVAX dan Pfizer.

Menerusi perjanjian yang ditandatangani dengan fasiliti COVAX dan Pfizer sebelum ini, Malaysia turut dijadualkan menerima bekalan yang meliputi 30 peratus rakyat negara ini.

“Kerajaan juga dalam proses rundingan akhir dengan Sinovac, CanSino dan Gamaleya bagi mendapatkan tambahan jaminan bekalan vaksin melebihi 80 peratus jumlah populasi negara atau 26.5 juta,” katanya menerusi rakaman video berhubung perkembangan terkini isu itu yang disiarkan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Kerajaan sebelum ini menyasarkan untuk memastikan liputan vaksin kepada 70 peratus rakyat.

Muhyiddin berkata melalui kesemua rundingan dan perjanjian yang telah dan akan dimeterai setakat ini, kerajaan akan membelanjakan keseluruhan US$504.4 juta (RM2.05 bilion).

Kerajaan sebelum ini mengumumkan peruntukan RM3 bilion untuk membiayai perolehan vaksin Covid-19 yang dijangka diperoleh seawal suku pertama tahun depan dan akan dimasukkan dalam perbelanjaan khas.

Vaksin tersebut akan diberikan secara percuma kepada semua warganeraga Malaysia.-SM

 

(Visited 328 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button