Politik

PM perlu ajak semua presiden parti bincang pra-bajet

Pemuda UMNO turut saran kerusi Parlimen Batu Sapi diserah pada Warisan tanpa bertanding

PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin dicadang untuk mengadakan rundingan pra-persidangan Parlimen dengan semua presiden parti-parti politik dari pihak kerajaan dan pembangkang.

Rundingan itu bagi mengelakkan Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada bulan depan tidak ditolak oleh ahli Parlimen.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, cadangan itu selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong dan Duli-Duli Tuanku Majlis Raja-Raja yang mahu ahli politik berhenti bermain politik demi kesejahtaraan rakyat.

Cadangan tersebut juga selari dengan saranan Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi supaya ahli politik segera melakukan gencatan politik dan perdamaian politik.

“Perdana Menteri memanggil semua Presiden-Presiden parti-parti politik sama ada kerajaan mahupun pembangkang bagi diadakan rundingan pra-persidangan Parlimen bagi memastikan Belanjawan 2021 kelak diluluskan demi kesejahteraan rakyat,” kata Asyraf Wajdi.

Pergerakan Pemuda UMNO turut memberi empat cadangan lain selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong dan Duli Tuanku Raja-Raja Melayu.

Antaranya, Asyraf Wajdi turut mengusulkan agar Parlimen Batu Sapi dikekalkan status-quo sebagai kerusi Parti Warisan.

Kerusi tersebut tidak perlu ditandingi oleh mana-mana parti politik selain Warisan dalam pilihanraya kecil yang akan tetap berlangsung sebagaimana peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau juga mencadangkan agar wakil-wakil parti politik tidak kira kerajaan mahupun pembangkang dilibatkan dalam Jawatankuasa Khas bagi membantu menangani isu-isu berkaitan pandemik Covid-19 dan dampak negatif yang memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat.

“Rundingan bi-partisan kerajaan dan pembangkang boleh diadakan secara berkala untuk memfokuskan segala agenda untuk membantu rakyat yang dalam keresahan akibat kesan kegawatan ekonomi yang makin meruncing.

“Menghentikan segala percaturan politik berebut kuasa dan jawatan Perdana Menteri buat sementara waktu sehingga selesai pertarungan rakyat menghadapi Pandemik Covid-19 dan kegawatan ekonomi,” kata Asyraf Wajdi.

Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu yang mengadakan sidang khas semalam menggesa ahli politik menghentikan segera segala politiking yang boleh mengganggu kestabilan negara.

“Kendatipun begitu, Seri Paduka Baginda ingin mengingatkan ahli-ahli politik untuk memberhentikan segera segala politicking yang boleh mengganggu kestabilan pemerintahan negara.

“Al-Sultan Abdullah turut berpendapat bahawa tiada perlunya Ahli-ahli Parlimen meneruskan tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh mengganggu gugat kestabilan Kerajaan sedia ada,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan semalam.

 

(Visited 104 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button