NasionalNegeri

Bendung gejala rasuah bermula di peringkat sekolah

RAJA Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail menyeru kepada semua pihak supaya membendung gejala rasuah bermula dari peringkat sekolah lagi.

Sehubungan itu titah Baginda, pendidikan mengenai ancaman dan kesan rasuah haruslah ditanam di dalam setiap jiwa anak-anak muda seperti peribahasa “Melentur buluh biarlah dari rebungnya”.

Baginda melahirkan rasa terkejut dengan kajian oleh Universiti Malaya (UM) pada awal tahun lalu bertajuk “Voices From The Ground: The Corruption Complex In Malaysia” yang mendedahkan 51% responden bersetuju rasuah adalah budaya yang sedang berakar di negara ini.

Demikian dititahkan oleh Tuanku Raja ketika berkenan berangkat merasmikan Hari Anugerah Cemerlang Bagi Sesi Akademik 2022/23 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Derma, Kangar setelah dua tahun tertangguh akibat pandemik COVID-19.

Keberangkatan Baginda diiringi Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merupakan alumni sekolah kluster berkenaan dari tahun 1980-1982 itu disambut oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Naharudeen Othman dan Pengetua sekolah, Fauziah Abd Hamid.

Pada kesempatan yang sama Tuanku Syed Sirajuddin mengingatkan semua bahawa pada hari ini juga, remaja sangat terdedah kepada pelbagai perkara negatif daripada media sosial seperti fitnah, berita palsu, pornografi malah pengaruh LGBT.

“Oleh itu mereka perlu dilengkapi dengan ilmu pengetahuan dan jati diri yang kukuh agar mereka menjadi insan yang dihormati,” titah Baginda.

Dalam hal ini, Baginda tekankan bahawa tanggungjawab ibu bapa juga adalah amat penting, supaya anak-anak menjadi insan yang bukan sahaja hebat dari aspek intelektual tetapi dilengkapi dengan rohani dan jati diri yang kukuh.

Dalam hal berlainan, Baginda berasa amat berdukacita di atas perbuatan menghina kaum dan agama yang berlaku baru-baru ini.

Titah Baginda, perkara sebegini wajar dicegah supaya tidak menjejaskan perpaduan dalam kalangan rakyat.

Sehubungan itu titah Baginda, sebarang provokasi terhadap agama dan kaum harus ditangani secara berhemah.

Baginda berpesan, jauhilah perkara sebegini dan tanamlah sifat saling menghormati.

Ingatlah bahawa perpaduan adalah amat penting demi memastikan negara ini stabil dan terus maju demi masa depan anak-anak kita. – SM

(Visited 339 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button