NegeriRencah Hidup

Buku mewah ‘Birds of Perlis State Park @ Wang Kelian, Perlis’ diterbitkan

JABATAN Perhutanan Negeri Perlis dengan kerjasama Persatuan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) telah menerbitkan sebuah buku mewah bertajuk ‘Birds of Perlis State Park @Wang Kelian, Perlis’ sempena Sambutan Hari Ulangtahun Keputeraan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail ke-80 tahun ini.

Turut dicetak pada bulan Ogos 2023 baru-baru ini juga ialah buku ‘A Photographic Guide Book – Birds Of Perlis State Park’.

Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan menerima sembahmaklum mengenai sebuah buku mewah bertajuk ‘Birds of Perlis State Park @Wang Kelian, Perlis’ sempena Sambutan Hari Ulangtahun Keputeraan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail ke-80 tahun di Galeri DiRaja Arau.

Sebanyak 196 spesies burung telah direkodkan dalam inventori burung di lima kawasan Hutan Simpanan Kekal di sekitar Perlis iaitu Hutan Simpan Mata Ayer, Hutan Simpan Wang Mu, Hutan Simpan Bukit Bintang, Hutan Simpan Kurong Batang dan Hutan Simpan Bukit Papan.

Daripada itu 169 spesies burung direkodkan di kawasan Taman Negeri Perlis, Wang Kelian yang dimasukkan dalam buku mewah tersebut.

Inventori burung ini penting untuk mengetahui status semasa maklumat kepelbagaian biologi di Taman Negeri Perlis dan sekaligus menjadi data asas yang berguna sebagai rujukan semasa dan masa hadapan.

Maklumat inventori ini penting sebagai persediaan kepada Jabatan Perhutanan Negeri Perlis untuk menjadikan pemerhatian burung sebagai produk pelancongan baharu bagi Negeri Perlis yang dikenali sebagai ‘Avitourism’.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menerima buku mewah bertajuk ‘Birds of Perlis State Park @Wang Kelian, Perlis’ dari Ag. Shaffie sambil disaksikan Shaiful Azhar (dua dari kanan) dan Sulaiman (kanan sekali) di Galeri DiRaja Arau.

Kesemua maklumat ini telah dipersembahmaklumkan kepada Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sewaktu sesi mengadap oleh Pengarah Perhutanan Negeri Perlis, Ag. Shaffie Ag. Ahmadni di Galeri Diraja Arau.

Turut hadir sama Timbalan Pengarah Perhutanan Negeri , Fadhilah Mohamad; Presiden Persatuan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) Sulaiman Salikan; dan Ahli Jawatankuasa NEST, Shaiful Azhar Abu Bakar di Galeri Diraja Arau.

Sesi mengadap ini bertujuan untuk mempersembahkan Buku Mewah berkenaan kepada Raja Muda Perlis.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menurunkan tanda tangan di buku Birds of Perlis State Park @ Wang Kelian, Perlis’ di Galeri DiRaja Arau.

Tuanku Syed Faizuddin Putra menzahirkan agar penerbitan buku-buku ini selain bagi memantapkan lagi rekod yang ada, ianya juga dapat terus mewar-warkan lagi Taman Negeri Perlis di Wang Kelian sebagai habitat terbaik bagi burung-burung yang jarang ditemui khususnya dalam tempoh kempen Tahun Melawat Perlis 2024-2025 yang akan datang.

Dan pada masa yang sama dapat meningkatkan lagi kesedaran tentang kepentingan pemeliharaan hutan batu kapur di sini yang unik supaya dapat dimanfaatkan oleh penduduk setempat dan juga para pengunjung secara lestari. – SM

BACA Kaki Bukit, Wang Kelian mampu diintegrasi jadi produk pelancongan

BACA Masuk “View Point Wang Kelian” kena bayar mulai hari ini

(Visited 73 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button