NasionalPendidikan

KPM sahkan ada pelanggaran SOP kejadian guru besar disamun duit BAP RM109,000 semalam

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) mengesahkan berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) proses pengambilan wang tunai dari bank yang dilakukan seorang guru besar sebuah sekolah di Beranang yang menjadi mangsa samun di Pekan Semenyih, semalam.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pelanggaran itu membabitkan ketiadaan pengiring bersama guru berkenaan sama ada dalam kalangan guru lain atau polis sewaktu mengeluarkan wang tunai berjumlah RM109,000 yang diperuntukkan bagi bantuan awal persekolahan (BAP).

“SOP kewangan telah dilanggar sedangkan kita ada SOP yang cukup ketat iaitu jika membawa wang lebih dari RM10,000 mestilah ada pengiring.

“Inikan pula satu jumlah yang cukup besar RM109,000 yang hilang,” katanya kepada pemberita sewaktu lawatan kerja di Sekolah Kebangsaan (SK) Chepor, hari ini.

Menurut beliau lagi, pihaknya tidak akan berkompromi dengan isu berkenaan yang dianggap serius.

Bagaimanapun, laporan penuh siasatan daripada polis serta Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor sedang ditunggu bagi menentukan tindakan susulan yang bersesuaian.

Sama ada kes berkenaan boleh dianggap sebagai kelalaian, beliau berkata ketika ini masih awal untuk disimpulkan selagi laporan penuh belum diterima pihaknya.

“Kita kena tunggu laporan daripada JPN Selangor secara keseluruhannya, saya tak boleh nak simpulkan selagi tak dapat laporan penuh JPN serta polis,” katanya.

Berdasarkan SOP tatacara pengeluaran wang tunai KPM, pengeluaran wang tunai dari bank oleh guru besar atau pengetua di bawah jumlah RM10,000 mesti diiringi dua guru lain.

Dan bagi jumlah melebihi itu, adalah dinasihatkan mengambil langkah keselamatan tambahan seperti mendapatkan perkhidmatan pengiring polis jika perlu.

Ditanya mengenai sama ada pelajar yang sepatutnya menerima wang bantuan berkenaan akan kekal memperolehnya apabila wang peruntukan yang hilang itu diganti semula oleh kementerian, Fadhlina sekadar memberi jaminan bahawa hak mesti dikembalikan kepada yang berhak.

“Kita jamin akan pastikan mereka, penerima bantuan dapat hak mereka. Kita akan lihat apa prosesnya sebab untuk SOP kewangan ini kalau hilang sebab cuai dan sebagainya akan ada proses dia (yang tertentu).

“Untuk tindakan terhadap guru besar itu, kita serah kepada JPN dan polis sebagai jaminan bahawa kes ini sedag disiasat dengan teliti,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan dilapor berkata, pihaknya tidak mendapat permohonan pengiring daripada guru besar berusia 50 tahun berkenaan untuk tujuan pengeluaran wang yang hilang itu.

Malah guru besar terbabit memberi alasan sudah biasa mengambil wang bantuan awal persekolahan tanpa pengiring pihak polis sejak 10 tahun lalu.

Wang bantuan berkenaan (BAP) dikatakan dilarikan oleh penjenayah semalam apabila ia baru saja dikeluarkan oleh guru besar berkenaan dan meletaknya dalam beg yang diletakkan di tempat duduk penumpang hadapan kereta sebelum cermin kenderaannya itu dipecahkan ketika dia pergi membeli minuman dalam tempoh kira-kira 10 minit. – FMT – SM

 

(Visited 1,703 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button