Politik

Kasthuri Patto sahkan tak bertanding PRU15

AHLI Parlimen Batu Kawan yang juga anak kepada mendiang P Patto, Kasthuri Patto dari DAP mengumumkan tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau menjelaskan namanya tidak digugurkan dari bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Batu Kawan ataupun berpindah ke kawasan lain.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengumumkan, 5 November hari penamaan calon manakala hari mengundi, 19 November bersamaan dengan hari Sabtu.

Ahli Parlimen Batu Kawan selama dua penggal dan anak perempuan mendiang P Patto yang merupakan orang kuat parti pada tahun 1970-an dan 80-an itu berkata, beliau akan kekal dalam parti dan meneruskan semangatnya memperjuangkan hak asasi manusia, membangkitkan isu wanita dan membasmi perkahwinan kanak-kanak.

Kasthuri, 43, berkata, bertentangan dengan apa yang orang mungkin simpulkan, beliau membuat keputusan itu selepas berfikir masak-masak walaupun telah diberi petunjuk tidak akan digugurkan.

“Ini adalah keputusan paling sukar yang perlu saya buat dalam hidup saya,” katanya pada sidang media dan dilaporkan oleh FMT, hari ini.

Kata Kasthuri, “Saya berundur secara terhormat dan tidak bertanding dalam pilihan raya akan datang untuk memberi laluan kepada pemimpin masa depan dalam DAP dan Malaysia.

“Saya akan selama-lamanya terhutang budi kepada parti kerana menyediakan platform untuk saya berkhidmat kepada rakyat dan negara selama dua penggal sebagai Ahli Parlimen Batu Kawan.

“Kepimpinan parti memujuk saya untuk memikirkan semula keputusan saya tetapi selepas berfikir panjang, saya tetap dengan keputusan saya. Saya mendapat sokongan dan restu penuh daripada parti.”

Kata Kasthuri lagi, “terdapat khabar angin bahawa saya telah digugurkan, tetapi itu tidak berlaku, dan saya berundur atas kerelaan saya sendiri.”

Untuk rekod, Kasthuri menjadi Ahli Parlimen pada tahun 2013 selepas memenangi kerusi Batu Kawan dengan majoriti 25,962 undi.

Beliau seterusnya mengekalkan kawasan itu dengan majoriti lebih tinggi iaitu 33,553 undi pada pilihan raya umum (PRU) 2018.

Kasthuri yang ketika ini memegang jawatan Timbalan Setiausaha DAP bagi Hal Ehwal Antarabangsa, dipilih sebagai Presiden Ahli Parlimen untuk Tindakan Global (PGA) Disember lalu.

Beliau menganggotai Kumpulan Pemandu untuk Panel Antarabangsa Ahli Parlimen untuk Kebebasan Beragama dan Kepercayaan.

Sebelum pembubaran Parlimen, beliau menjadi ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Antarabangsa. – SM

(Visited 160 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button