Politik

Selesai tuntutan UMNO dalam semangat ‘keluarga besar’

KERAJAAN Negeri Selangor akan menyelesaikan isu tuntutan UMNO berkaitan dengan jawatan akar umbi di negeri itu mengikut semangat ‘keluarga besar’, kata Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Ng Suee Lim.

Sabtu lalu, UMNO Selangor memutuskan mengembalikan semula kuota 20 kerusi ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) kepada kerajaan negeri, pada masa sama menuntut 373 jawatan pengerusi jawatankuasa pembangunan dan keselamatan Kampung (JPKK).

Exco Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Pembangunan Kampung Baru, Datuk Ng Suee Lim berkata, perkara itu akan dibawa ke mesyuarat exco dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari untuk diputuskan.

“Kita akan bincang dalam mesyuarat exco mengenai pendirian UMNO…MB akan putuskan dan akan selesaikan isu ini dalam keadaan harmoni dan semangat keluarga besar,” katanya kepada FMT.

Selain boleh memilih ahli majlis PBT, kerajaan Selangor juga bertanggungjawab mencalonkan pengerusi JPKK atau ketua kampung.

Ng yang juga Adun Sekinchan berkata, selain perbincangan di peringkat pentadbiran negeri, pendirian UMNO itu juga akan diangkat dalam mesyuarat bersama pimpinan pusat PH.

“Kerana ia babitkan banyak perkara,” katanya ringkas.

Ketua UMNO Selangor, Megat Zulkarnain Omardin

Sebelum ini, Ketua UMNO Selangor, Megat Zulkarnain Omardin berkata, tindakan itu bukan disebabkan pihaknya “merajuk” tetapi bagi menafikan dakwaan parti itu tamak dan mendesak PH.

Beliau menegaskan ini kerana kuota 20 jawatan diperuntuk kepada Umno hanya 7% daripada 288 kerusi ahli majlis membabitkan 12 PBT.

UMNO dan PH bekerjasama di Selangor susulan pembentukan kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan, pada PRN Ogos lalu, gabungan itu menang 34 daripada 56 kerusi yang menyaksikan Amirudin Shari kekal sebagai menteri besar.

UMNO yang menang dua kerusi iaitu di Dusun Tua dan Sungai Air Tawar diperuntuk satu kerusi exco, menyaksikannya kembali menganggotai pentadbiran Selangor selepas tewas pada PRU 2008. – SM

BACA Ramalan Tun M: UMNO akan berkubur pada PRU16

BACA Perihal pemecatan Isham Jalil daripada UMNO

(Visited 89 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button