Politik

Mat Sabu ajak semua MP menang bawah tiket PH bersatu semula

SEMUA ahli Parlimen yang bertanding dibawah tiket Pakatan Harapan ketika Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu diseru untuk kembali bersatu di bawah payung Pakatan Harapan.

Seruan itu dibuat oleh Presiden Amanah Mohamad Sabu yang mahu melihat mandat yang diberikan oleh rakyat kepada PH pada PRU-14 itu dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

Malah beliau juga mahu semua yang berlaku sebelum ini dilupakan semula bagi membina semula negara.

Tegas beliau, dalam keadaan negara berada dalam situasi getir jiwa besar diperlukan untuk memulihkan semula negara.

“Justeru, saya menyeru kepada semua rakan-rakan ahli parlimen yang menang di atas tiket Pakatan Harapan (Harapan) dalam pilihanraya yang lalu, kembali bersatu dibawah payung Pakatan Harapan agar mandat yang diberikan oleh oleh rakyat dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

“Apa yang telah berlaku sebelum ini biarkan ia berlalu dan kita cipta sejarah untuk bina semula negara tercinta ini.

“Di dalam menghadapi situasi getir seperti ini, jiwa besar amat diperlukan kerana tidak ada yang benar-benar diharapkan oleh rakyat melainkan kesihatan dan ekonomi rakyat kembali pulih,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohamad menjelaskan, apabila mandat rakyat dalam pilihanraya yang lalu dikembalikan dan institusi parlimen dihidupkan, maka tidak ada sesiapa yang ketinggalan.

Ini kerana peranan dan pandangan pembangkang akan turut diambil kira dalam menguruskan Malaysia untuk keluar daripada kemelut kesihatan akibat COVID-19 dan kembali membina semula ekonomi negara.

Seruan Mohamad itu dibuat berikutan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin sebagai perdana menteri sekaligus menyaksikan Kabinet dan Kerajaan Perikatan Nasional terbubar.

Katanya, demokrasi perlu kembali dipulihkan agar pendangan semua pihak diambil kira sama ada dalam kalangan ahli Parlimen kerajaan mahupun pembangkang serta pihak-pihak yang lain.

Tambah Mohamad, proses semak dan imbang melalui institusi Parlimen mesti dihidupkan agar kerajaan baru yang didirikan sentiasa melaksanakan tanggungjawab sebaik-baiknya.

Kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini runtuh selepas berberapa ahli Parlimen yang bertanding di bawah tiket Pakatan Harapan keluar meninggalkan parti itu sehingga menyebabkan Kerajaan Pakatan Harapan kehilangan majoriti.-SM

 

(Visited 297 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button