Nasionalpilihan

Peniaga Uptown Pahlawan Walk berpindah ke lokasi baharu mulai esok

Kira-kira 120 peniaga di Uptown Pahlawan Walk di Banda Hilir di sini akan mula berpindah ke lokasi baharu bermula esok.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman berkata, kesemua peniaga akan mula berniaga dari hadapan Muzium Tentera Laut Diraja Malaysia hingga di premis makanan segera McDonald’s.

Shadan Othman.

Menurutnya, kesemua peniaga terbabit telah bersetuju meninggalkan lokasi lama mereka di Plaza Mahkota dan terus kekal berniaga di lokasi baharu itu selepas ini bermula setiap Jumaat hingga Ahad iaitu sepanjang pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan.

“Penganjur telah berjumpa dengan saya meminta mereka ditempatkan ke lokasi baharu dan bukan lagi di Plaza Mahkota yang sejak bertahun lama mereka bertapak di sana.

“Mereka merayu berpindah ke lokasi baharu ekoran berlaku pergaduhan antara pemilik bangunan di Plaza Mahkota dengan peniaga di Uptown Pahlawan Walk baru-baru ini.

“Jadi MBMB telah mencadangkan lokasi baharu peniaga mula berniaga dari Muzium Tentera Laut Diraja Malaysia hingga lepas Menara Taming Sari dan mereka telah bersetuju,” ujarnya di sini hari ini.

Shadan berkata, kesemua peniaga akan mula berniaga dari pukul 6.00 petang hingga 12.00 tengah malam setiap Jumaat hingga Ahad iaitu sepanjang tempoh pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan.

Menurutnya, penganjur juga telah dinasihatkan untuk menggunakan khemah yang kukuh dan menarik perhatian serta diseragamkan dan tidak lagi memakai khemah yang rosak serta senget digunakan.

“Kita membenarkan peniaga berniaga secara berdepan dan selepas berniaga mereka tidak boleh meninggalkan khemah di tepi jalan. Ini sama seperti mereka berniaga di Uptown Pahlawan Walk,” ujarnya.

Katanya, beliau yakin lokasi baharu peniaga terbabit mampu menarik minat pengunjung termasuk pelancong datang ke lokasi baharu mereka.

Menurutnya, pihak MBMB akan menyediakan tandas bergerak di samping beberapa penguatkuasa akan ditempatkan di situ bagi mengawal keadaan. – SM

 

(Visited 63 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button