Nasional

574,886 permohonan bagi Bantuan Tunai Rahmah

SEBANYAK 574,886 permohonan tambahan telah diterima bagi Bantuan Tunai Rahmah (STR) setakat ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata pembayaran fasa satu STR bernilai RM1.67 bilion dan melibatkan 8.7 juta penerima telah dilaksanakan pada 17 Jan. Pembayaran fasa dua akan dibuat pada 5 April, manakala fasa tiga pada Ogos atau Oktober paling lewat.

“Sehingga 15 Mac tahun ini, seramai 123,243 ketua isi rumah (KIR) yang dikategorikan sebagai miskin tegar telah berdaftar dengan sistem eKasih, namun saya akan meningkatkan angka itu kepada 130,000 KIR kerana kebimbangan saya ialah akan ada angka baharu yang tidak termasuk sepanjang tahun ini.

“Berdasarkan perkembangan ini dan keupayaan seluruh jabatan, kita akan dapat menangani kemiskinan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) mengenai pendekatan terkini Kerajaan Perpaduan dan kemajuan membasmi kemiskinan secara holistik dan berkesan.

Sistem eKasih merupakan pangkalan data kemiskinan nasional di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri yang dibangunkan untuk mendaftarkan isi rumah miskin di Malaysia berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK).

Perdana Menteri berkata selain STR, kerajaan turut melaksanakan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) bagi membantu 400,000 rakyat daripada kumpulan rentan serta inisiatif Payung Rahmah yang melibatkan subsidi berjumlah RM64 bilion.

Melalui IPR, sebanyak RM750 juta telah diperuntukkan bagi melaksanakan tiga inisiatif iaitu Inisiatif Usahawan Agro Peladang (INTAN), Inisiatif Food Entrepeneur (INSAN) dan Inisiatif Pengendali Perkhidmatan (IKHSAN).

“Lebih daripada 22,000 telah mendaftar untuk program IPR ini dalam tempoh sebulan, dan ini merupakan perkembangan positif,” kata Anwar. – SM

Artikel berkaitan > Anwar terbuka mengenai dana politik PKR

 

(Visited 303 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button