Politik

Senarai nama MP sokong Anwar dipersembah melalui ketua parti – Mujahid

SENARAI nama ahli Parlimen yang menyokong Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan baharu akan dipersembahkan oleh ketua parti masing-masing kepada Yang di-Pertuan Agong.

Naib Presiden Amanah Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa berkata, Anwar tidak mempersembahkan senarai nama ahli Parlimen terbabit kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Minggu ini pasca 13 Oktober adalah hari-hari yang sibuk di balik tembok Istana kerana proses verifikasi yang akan menentukan keputusan Baginda Tuanku sedang berjalan.

“Dari luar, kita hanya nampak ketua-ketua parti akan keluar masuk Istana memenuhi kehendak teknikal undang-undang dan taktikal pihak Istana. Senarai nama sokongan kepada DSAI dari kalangan MP akan dipersembahkan melalui ketua parti masing-masing dan bukan dari DSAI,” kata Mujahid.

Beliau turut berkata, Anwar telah menghadap Al-Sultan Abdullah dengan persediaan rapi termasuk majoriti yang didakwanya ada.

Menurut Mujahid, Anwar turut telah menjelaskan segala tindakannya dalam sidang media pukul 2 petang semalam.

“Adapun apa sahaja yang datang dari kenyataan Istana, itu adalah atas kuasa perlembagaan yang ada padanya selain wewenang Tuanku dan kebijaksanaan Baginda untuk membuat apa sahaja respons demi kepentingan suara rakyat di luar Istana,” kata Mujahid.

Semalam Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin melalui kenyataan berkata, Anwar tidak mengemukakan senarai nama Ahli Dewan Rakyat bagi mengukuhkan dakwaan mendapat sokongan semasa menghadap Al-Sultan Abdullah.

“Dalam sesi yang berlangsung selama lebih kurang 25 minit ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengemukakan jumlah ahli-ahli Dewan Rakyat yang didakwa memberi sokongan kepada beliau.

“Walau bagaimanapun, beliau tidak mengemukakan senarai nama ahli-ahli Dewan Rakyat untuk mengukuhkan dakwaan tersebut.

“Sehubungan itu, Al-Sultan Abdullah telah menasihati Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk akur dan menghormati proses-proses perundangan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan.

Ketika ini beberapa ketua parti politik dilaporkan telah dititahkan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Dalam sidang media semalam Anwar menengaskan dia mendapat sokongan daripada lebih 120 Ahli Parlimen. Menurutnya surat akuan bersumpah dan surat sokongan ketua parti terbabit telah diserahkan kepada Al Sultan Abdullah.-SM

(Visited 380 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button