Nasionalpilihan

Dakwaan individu mencurigakan di sekitar sekolah tiada kaitan dengan kes culik!

KOTA BHARU: Polis Kelantan memohon kerjasama rakyat di negeri itu khususnya warga maya supaya menghentikan perbuatan menyebar dakwaan kes culik sehingga menimbulkan ketakutan orang ramai.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata dakwaan cubaan membawa lari atau menculik kanak kanak di perkarangan sekolah yang berlegar-legar di laman media sosial sejak kebelakangan ini adalah tidak berasas.

“Beberapa posting yang dimuat naik dalam media sosial dan ditularkan mendorong PDRM khususnya kontinjen Kelantan menjalankan siasatan.

“Dakwaan yang mengaitkan individu mencurigakan berada di perkarangan sekolah atau tempat tempat tertentu juga disiasat oleh pihak polis, namun kesemua dakwaan berkenaan tidak menjurus kepada situasi cubaan membawa lari atau menculik kanak kanak,” katanya menerusi kenyataan.

Polis Kelantan pada 22 dan 26 September lalu sudah menjalankan siasatan terhadap dakwaan cubaan menculik pelajar sekolah rendah masing masing di Gua Musang, Kuala Krai dan Pasir Puteh.

“Hasil siasatan mendapati individu yang dikatakan berada di kawasan sekolah berkenaan tidak mempunyai niat untuk menculik sebaliknya mempunyai urusan lain.

“Dakwaan sama turut berlaku di daerah Kuala Krai baru-baru ini sehingga menimbulkan kebimbangan penduduk di daerah itu.

“Bila kita jalankan siasatan, rupa-rupanya individu yang dikatakan cuba menculik itu kakitangan sebuah syarikat perkhidmatan penapis air yang mempunyai urusannya untuk membuat kutipan bulanan dari pelanggan di situ,” katanya.

Katanya, kejadian sama turut berlaku di kawasan masjid Muhammadi, di sini pada awal September lalu sehingga seorang lelaki kurang siuman menjadi mangsa keadaan apabila di belasah oleh orang ramai kerana didakwa cuba menculik kanak kanak.

“Saya tegaskan di sini, mereka yang terbabit menyebarkan maklumat tidak betul adalah salah dan boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan (mendatangkan kegusaran awam) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Polis memohon orang ramai supaya merujuk sesuatu kejadian dan dakwaan itu melalui sumber sahih supaya tidak menimbulkan kekeliruan,” katanya.

Sebelum ini tular surat peringatan yang dikeluarkan pihak sekolah berhubung kes culik dengan mengingatkan ibu bapa supaya mengambil anak mengikut waktu ditetapkan.

Polis sudah menjalankan siasatan selepas tular dakwaan seumpama itu, namun ia tidak benar dan tidak berasas apatah lagi yang mengaitkan mengenai sindiket mengambil organ kanak kanak dan sebagainya” katanya.

(Visited 112 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button