Sukan

V-Shem, Wee Kiong wakil tunggal Malaysia ke separuh akhir Terbuka Thailand

PASANGAN veteran Malaysia, Goh V Shem-Tan Wee Kiong menjadi wakil tunggal negara yang masih meneruskan cabaran ke separuh akhir pada kejohanan badminton Terbuka Thailand.
Beregu No. 14 dunia itu mengetepikan rakan senegara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani menerusi kemenangan straight set 21-16, 21-19 dalam aksi suku akhir di Bangkok, hari ini.
Lawan yang bakal menanti mereka di separuh akhir, esok ialah beregu muda Indonesia yang sedang meningkat naik, Leo Rolly Carnando-Daniel Martin yang mengalahkan Marcus Ellis-Chris Langridge dari England 12-21, 21-14, 21-15.
Pertembungan dengan beregu muda negara seberang itu yang kedua-duanya baru berusia 19 tahun dijangka sukar buat V Shem dan Wee Kiong.
Ranking pasangan Indonesia itu yang berada di kedudukan No. 70 dunia tidak boleh dijadikan sebagai kayu ukuran kerana mereka kini berada pada prestasi terbaik.
Buktinya boleh dilihat daripada aksi bekas juara beregu remaja dunia 2019 itu sewaktu mengejutkan pasangan No. 6 dunia yang merupakan rakan senegara, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto 16-21, 21-17, 22-20 di pusingan kedua, semalam.
Justeru, V Shem-Wee Kiong perlu berhati-hati dengan lawan mereka itu dan sebagai wakil tunggal negara pada separuh akhir, sekiranya kekalahan menimpa maka akan menyaksikan Malaysia tanpa wakil dalam saingan akhir yang berlangsung Ahad ini.
Sementara itu, cabaran Malaysia dalam aksi perseorangan lelaki berakhir apabila Lee Zii Jia tewas kepada pilihan kedua, Chou Tien Chen dari Taiwan 17-21, 15-21.
Turut ditunjukkan jalan keluar ialah pasangan beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang tidak mampu menyekat kemaraan pilihan utama kejohanan yang juga wakil tuan rumah, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai apabila tewas 18-21, 17-21 dalam masa 44 minit.
Beregu lelaki, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi juga tidak mampu untuk menjejakkan kaki ke separuh akhir setelah mereka akur dengan ketangkasan pilihan keenam dari Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin 21-23, 15-21.
Gandingan muda wanita negara, Pearly Tan-Thinaah Muralitharan turut menerima nasib serupa apabila tewas kepada pilihan kelima, Greysia Polii-Apriyani Rahayu dari Indonesia 15-21, 12-21 dalam masa 35 minit. – SM

(Visited 286 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button