Nasional

Pelajar bebas kritik kerajaan termasuk Perdana Menteri

PELAJAR universiti dan institusi pengajian tinggi (IPT) lain diberi kebebasan bersuara termasuk mengkritik dasar kerajaan dan Perdana Menteri kecuali hal-hal sensitif membabitkan kaum dan agama serta tidak ada elemen melampau.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanap berkata kritikan dan teguran itu mesti disertai fakta dan kefahaman serta tidak menghina mana-mana pihak.

“Kebebasan memberi pandangan ini juga tidak termasuk dalam hal yang mencerca atau isu perkauman serta fahaman agama yang melampau.

“Selain daripada hal itu, dibebaskan termasuk teguran dan kritikan terhadap perdana menteri ataupun kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian bantuan pelajar antarabangsa oleh Tabung Pelajar Antarabangsa AbuSulayman (AISF) di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM).

Anwar berkata, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sudah diarah membuka ruang kepada pelajar dan kakitangan, memberi pandangan masing-masing secara terbuka.

“Mereka sudah membuka ruang, terutama menteri pendidikan tinggi, buka ruang supaya universiti lebih segar dalam memberikan pandangan,” katanya.

Anwar juga mahu KPT meninggalkan amalan lama yang lapuk dan menggalakkan pelajar berfikiran lebih kritikal dan kreatif.

“Antara kegagalan ummah masa kini adalah kegagalan mendidik dan membina ummah yang memimpin sebaliknya kebanyakan masyarakat kini hanyalah mengikut dan tidak bersuara.

“Kekurangan minda kritikal, kekurangan kefahaman hanya akan memberi kita ramai yang bersifat pengikut yang gagal menimbang situasi dan kurang berdaya kreatif,” katanya. – SM

(Visited 201 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button