Ekonomi

Petron catat kerugian bersih RM69 juta pada suku kedua 2020

PETRON Malaysia Refining and Marketing Bhd (Petron) mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM69.29 juta dalam suku kedua yang berakhir 30 Jun, 2020 daripada keuntungan bersih RM56.21 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Hasil turun kepada RM1.02 bilion berbanding RM3.02 bilion sebelumnya berikutan gabungan impak daripada penurunan permintaan dan juga harga semasa suku tersebut, kata syarikat berkenaan dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Penggunaan bahan api tempatan meningkat beransur-ansur pada suku kedua 2020 apabila kerajaan menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan PKP Pemulihan pada Jun.

“Kuantiti jualan bagi Suku Kedua 2020 berjumlah enam juta tong berbanding 9.2 juta tong yang dijual pada tempoh yang sama tahun lepas,” kata Petron.

Minyak mentah Brent mencecah harga bulanan terendahnya pada April 2020 pada US$19 setong sebelum pulih semula pada Mei dan Jun kepada purata US$29 setong.

Petron berkata pada masa depan syarikat itu akan menumpukan kepada pemulihan perniagaan selain mengekalkan komitmen jangka panjangnya terhadap pertumbuhan perniagaan, kecekapan operasi dan meningkatkan kualiti penyediaan perkhidmatan kepada pelanggan. — BERNAMA

(Visited 352 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button